SPRM buka 70 kertas siasatan kes rasuah JPJ Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka 70 kertas siasatan berhubung kes rasuah melibatkan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya menjangkakan beberapa kes akan dibawa ke mahkamah seawal-awalnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Siasatan telah di penghujungnya tetapi ambil masa sikit untuk kita lengkapkan kertas siasatan mengikut prosedur. Saya jangka sebelum atau selepas raya ini mungkin ada beberapa kes boleh dibawa ke mahkamah.

"Lepas itu, kita tunggu keputusan pendakwa raya," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup kursus anti rasuah untuk Pejabat Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan (ONACC) Thailand di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut kakitangan JPJ yang ditahan itu berjawatan penguat kuasa gred 19 hingga 32, dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM10,000 dan RM32,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya selain membocorkan maklumat operasi jabatan itu.

Kumpulan lori-lori yang dilindungi itu juga dilaporkan dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto agar mereka mudah dikenal pasti dan kebal daripada tindakan penguat kuasa.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah JPJ Pulau Pinang dirakam keterangan

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, lebih ramai saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan kes rasuah projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara bernilai RM17 juta.

Artikel Berkaitan:

"Ada ramai lagi saksi akan dipanggil memandangkan kes ini masih di peringkat permulaan," katanya.

Semalam, seorang lagi suspek yang juga pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman berhubung kes tersebut.

Sebelum ini, dua individu iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai kewangan (CFO) wanita sebuah syarikat swasta juga direman membabitkan kes sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Seri direman empat hari kes rasuah bekal alat kereta kebal