Perancis gugur beberapa dakwaan terhadap Abdul Razak Baginda

Abdul Razak Baginda
Abdul Razak Baginda
A
A
A

PARIS - Perancis menggugurkan beberapa dakwaan terhadap penganalisis politik, Abdul Razak Baginda berhubung sogokan urusan pembelian kapal selam.

Menurut laporan agensi berita, AFP, Mahkamah Rayuan Paris telah menggugurkan dakwaan rasuah pasif, namun dakwaan lain dikekalkan.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, peguam Abdul Razak, Caroline Toby memberi gambaran akan membuat rayuan berhubung perkara itu.

Sehingga kini empat pegawai eksekutif industri pertahanan Perancis sudah didakwa.

Mereka terdiri daripada dua bekas pengerusi DCNI, Philippe Japiot dan Dominique Castellan, serta dua bekas pengarah Thales International Asia, Bernard Baiocco dan Jean-Paul Perrier.

Keempat-empat mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa tidak mempunyai hubungan langsung dengan Abdul Razak.

Penyiasat Perancis kini sedang mengikuti perkembangan dakwaan bahawa bayaran 114 juta euro dibuat Perimekar.

Perimekar merupakan syarikat berpusat di Malaysia yang didakwa dikawal oleh isteri Abdul Razak.

Artikel Berkaitan:

Abdul Razak adalah penasihat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2000 dan 2008 yang merupakan menteri pertahanan pada ketika itu.

Abdul Razak menasihati Najib dalam urusan bernilai RM4.66 bilion berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta daripada unit dermaga laut Perancis DCNI, yang dikaitkan dengan kumpulan pertahanan Perancis, Thales International Asia.

Pada tahun 2010, satu siasatan mendedahkan bahawa syarikat Terasasi menerima sejumlah wang yang dikatakan bayaran kerja rundingan dan Abdul Razak merupakan pemegang saham utama Terasasi.

Bayaran berkenaan dikatakan sebagai pendahuluan sogokan bagi urusan berkenaan.

Abdul Razak didakwa di Perancis pada Julai 2017 dengan tuduhan bersubahat secara aktif dan pasif dalam rasuah dan penyalahgunaan aset korporat.