SPRM sahkan Hishammuddin buat laporan isu land swap

Azam ( tengah) dan Sathaporn merakamkan kenangan bersama peserta-peserta kursus.
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah membuat laporan berhubung skandal land swap melibatkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, laporan tersebut dibuat wakil Hishammuddin kepada agensi itu minggu lalu.

"Berhubung isu land swap, kita sedang siasat dua kes yang dilaporkan kepada SPRM. Kami turut melihat seluruh laporan audit yang dikemukakan kepada SPRM.

"Hishammuddin juga telah mengemukakan satu laporan lain kepada kita. Jadi SPRM melihat kepada semua perkara yang dikemukakan untuk diteliti dan disiasat," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup kursus anti rasuah untuk Pejabat Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan (ONACC) Thailand di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Anti Rasuah Kebangsaan (NACC) Thailand, Jeneral Polis Sathaporn Laothong.

Sebelum ini, Hishammuddin dalam satu kenyataan berkata, beliau telah meminta wakilnya memfailkan laporan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya berkaitan semua 16 perjanjian land swap tanpa pilih bulu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk turut memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membantu siasatan.

"Sesiapa saja yang terlibat akan dipanggil," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, kursus anti rasuah selama dua hari itu melibatkan 46 peserta dari NACC.

"Kursus ini bagi berkongsi pengalaman SPRM lebih 51 tahun dalam membanteras rasuah dan maklum balas yang diterima amat baik," katanya.