DAP mahu gantikan Maszlee dengan Teo Nie Ching fitnah: Kit Siang

A
A

1. DAP mahu gantikan Maszlee dengan Teo Nie Ching fitnah: Kit Siang

Veteran DAP, Lim Kit Siang menafikan dakwaan mengatakan DAP meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, laporan disiarkan beberapa portal yang mengatakan DAP mahu menggantikan Maszlee dengan timbalannya dari DAP, Teo Nie Ching adalah fitnah.

Katanya, Pembohongan itu hanyalah permulaan penipuan yang akan muncul dalam media sosial pada minggu-minggu akan datang bagi menyebabkan ketegangan, keretakan dan perpecahan Pakatan Harapan.

April lalu, satu pestiyen diadakan bagi mendesak Perdana Menteri memecat Maszlee dan ia berjaya mengumpul lebih 48,000 tandatangan.

2. Arah Zahid lepas jawatan tindakan kurang wajar: Tok Mat

UMNO ketika ini berada di landasan terbaik dan ahli parti tidak seharusnya mewujudkan sebarang isu yang boleh mengeruhkan suasana.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan permintaan UMNO Tebrau supaya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus bercuti atau melepaskan jawatan demi kepentingan parti adalah kurang wajar.

Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO sejak 20 Disember tahun lalu berkata, bagi memastikan kelancaran gerak kerja UMNO, adalah lebih baik sekiranya ahli-ahli memberi sokongan bukannya membangkitkan desakan yang boleh mengeruhkan ketenangan parti.

Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu mengumumkan bercuti daripada jawatan tersebut dan menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohamad susulan berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

3. Jokowi pertahan jawatan Presiden

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berjaya mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua setelah menewaskan pencabar utama, Prabowo Subianto dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019, umum Komisi Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU).

KPU dijangka mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya yang diadakan pada 17 April lalu esok namun berikutan kebimbangan berlakunya kekecohan keputusan dikeluarkan lebih awal tanpa sebarang notis.

Jokowi dan gandingannya Ma'ruf Amin dilaporkan memenangi pilihan raya dengan margin 55.5 peratus berbanding 44.5 peratus yang diperolehi Prabowo dan gandingannya, Sandiaga Uno.

Menurut pengumuman tersebut, kira-kira 85.6 juta pengundi daripada sejumlah 154 juta pengundi di Indonesia memilih Jokowi.

4. Ainul Mardhiah dijangka berlepas ke London minggu ini

Bayi perempuan berusia sembilan bulan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, Ainul Mardhiah, dijangka berlepas ke London untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan di salah sebuah hospital di sana selewat-lewatnya Jumaat ini.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, seorang peniaga kedai runcit berkata persiapan lengkap dalam semua aspek telah dilakukan dan hanya menunggu tiket penerbangan daripada Malaysia Airlines (MAS) yang menaja mereka ke sana.

Ahmad Safiuddin berkata dua pakar bius daripada hospital swasta di negara ini akan mengiringi beliau dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, serta Ainul Mardhiah ke negara tersebut.

5. Tapak tangan, lima jari hancur angkara mercun

Seorang pelajar lelaki Tingkatan 1 sebuah sekolah menengah di Alor Lintang parah di bahagian pergelangan tangan dengan semua jari dan telapak tangan hancur akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan, Kampung Raja, Besut, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Syafiq Haikal Shaharrudin, 13 tahun, dikatakan tidak sempat membaling mercun bola yang sudah dinyalakan menyebabkannya meletup di tangan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ibu mangsa, Zainab Mohd, 40 tahun, menyedari kejadian itu selepas didatangi sepupunya memberitahu Syafiq Haikal cedera terkena mercun.