Jari telunjuk kanak-kanak putus tersepit mesin pengisar

Muhammad Farhan menahan sakit kira-kira 30 minit selepas tangan kirinya tersepit dalam mesin pengisar pelbagai guna di sebuah premis di Lorong Kamali, Kampung Delek Kanan, pagi semalam. Gambar kanan, anggota bomba dan Penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit di dalam mesin pengisar pelbagai guna dalam kejadian, pagi semalam. - Foto ihsan BBP Kota Raja
Muhammad Farhan menahan sakit kira-kira 30 minit selepas tangan kirinya tersepit dalam mesin pengisar pelbagai guna di sebuah premis di Lorong Kamali, Kampung Delek Kanan, pagi semalam. Gambar kanan, anggota bomba dan Penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit di dalam mesin pengisar pelbagai guna dalam kejadian, pagi semalam. - Foto ihsan BBP Kota Raja
A
A
A

KLANG - Seorang kanak-kanak warga Indonesia menahan kesakitan kira-kira 30 minit selepas tangan kirinya tersepit dalam mesin pengisar pelbagai guna di sebuah premis di Lorong Kamali, Kampung Delek Kanan, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Muhammad Farhan Azman, 3, mengalami kecederaan parah termasuk putus jari telunjuk.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.09 pagi.

“Pasukan bomba tiba 10 minit kemudian dan mendapati tangan mangsa masih tersepit hingga paras lengan dalam mesin pengisar.

“Anggota kemudiannya terpaksa memotong mesin berkenaan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.

“Selepas 30 minit, tangan mangsa berjaya dikeluarkan. Akibat kejadian itu, tangan kiri mangsa mengalami kecederaan parah termasuk putus jari telunjuk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu mangsa meninggalkan mesin berkenaan yang masih beroperasi.

“Difahamkan, sebelum kejadian ibu mangsa mengisar ubi kentang untuk digunakan bagi membuat kuih-muih yang akan dijual di bazar Ramadan pada sebelah petang.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, tindakan ibunya meninggalkan mesin tersebut yang masih beroperasi mengundang padah apabila kanak-kanak tersebut memasukkan tangan kirinya ke dalam mesin berkenaan.

“Kejadian itu hanya disedari ibunya selepas mendengar jeritan mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.