Penyakit nyanyuk sukar dikawal, namun boleh dikurangkan

A
A

BUAT pertama kalinya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan garis panduan berhubung pencegahan dan pengurusan penyakit dementia (dementia).

Dalam masyarakat Malaysia, dementia dikenali sebagai nyanyuk.

Risiko dementia boleh dikurangkan dengan

1. Banyak melakukan aktiviti fizikal/ bersenam

2. Berhenti merokok

3. Amalkan pemakanan sihat

3. Jauhi minuman beralkohol

4. Mengawal dan merawat darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes

Penyakit dementia ialah penyakit yang mengganggu fungsi otak, dan akan berlaku secara berterusan (progresif).

Ia menyebabkan penurunan fungsi mental sehingga mengganggu aktiviti harian seseorang.

Antara fungsi otak yang menerima kesan dalam penyakit dementia ialah kehilangan memori, proses berfikir dan tabiat sosial.

Tiada rawatan untuk memulihkan penyakit ini tetapi rawatan hanya diberikan untuk mengelak ia menjadi lebih teruk.

Dianggarkan 50 juta orang menghidap dementia di seluruh dunia dan hampir 10 juta pesakit baharu setiap tahun.

Komplikasi

Jika dementia tidak dikesan awal, beberapa akibat mungkin terjadi, seperti:

- Peningkatan dalam penyakit fizikal atau penyakit mental

- Peningkatan dalam kadar kematian.

- Dementia boleh membawa kepada kemasukan dalam institusi penjagaan dengan lebih awal.

- Ia boleh menimbulkan tekanan kepada penjaga dan menimbulkan penyakit fizikal dan mental di kalangan penjaga.

- Ia boleh menyebabkan penderaan ke atas pesakit.

Bolehkah dementia dirawat?

Pada masa ini dementia tidak boleh diubati, tetapi pembelajaran dan sokongan kepada pesakit dan penjaga pesakit dementia dapat membantu dalam mengawal sesetengah gejala penyakit.

Ada terdapat beberapa jenis ubatan yang boleh menolong dalam mengawal gejala dan meningkatkan fungsi kognitif. Ada juga ubatan yang digunakan untuk merawat psikosis, kemurungan dan masalah emosi.

Pencegahan

Kajian mendapati bahawa aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur, membaca dan sebagainya dapat mengurangkan risiko berlakunya dementia. Amalan cara hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat dementia.

Rehabilitasi

Terdapat banyak terapi psikososial yang memberi manfaat kepada pesakit dementia. Ini termasuk memberi sokongan kepada pesakit dalam menjalani aktiviti harian mereka, menggalakkan aktiviti yang merangsang fungsi mental dan pancaindera mereka serta banyak lagi. Kumpulan sokongan yang berdekatan anda dapat membantu anda dalam memberi cadangan tentang aktiviti yang berkesan.

Kumpulan sokongan

Alzheimer’s Disease Foundation of Malaysia

Johor Bahru Alzheimer’s Disease Association (Jobada)

Sumber: KKM