Berpakaian hingga menimbulkan fitnah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MUNGKIN ramai yang pandang sinis terhadap operasi pakaian ketat dan menjolok mata. Mungkin ada juga yang menganggap operasi itu kolot dan ketinggalan zaman.

Namun usaha kerajaan Kelantan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) adalah untuk mendidik masyarakat Islam menjaga etika dalam berpakaian.

Sesuai dengan jolokan Negeri Serambi Makkah dan slogan kerajaan negeri Membangun Bersama Islam, operasi Jaheik itu bertepatan syariat agama.

Wanita berpakaian ketat bak pembalut nangka hingga tertonjol yang apa sepatutnya disembunyikan pastinya menimbulkan fitnah dalam khalayak awam.

Apatah lagi dalam bulan mulia ini, bila berpakaian menampakkan susuk tubuh, pergi pula ke bazar Ramadan mahu tak terbeliak mata lelaki hatta pak haji pun terangkat kopiahnya!

Takut nanti ramai lelaki yang ke bazar Ramadan bukan nak cari juadah berbuka tetapi nak ‘berbuka mata awal’ dengan pelbagai jenis bentuk badan cek mek manis.

Bergaya untuk nampak cantik tidak salah tetapi biarlah berpakaian yang tidak membangkitkan nafsu si lelaki yang melihatnya dan tidak melanggar syariat agama.

Maruah diri dan keluarga perlu difikirkan sama kerana tingkah-laku kita pasti berkait rapat dengan kaum kerabat.

Operasi itu bukan hanya menyasarkan orang perempuan tetapi juga lelaki kemaruk nak berpakaian macam wanita. Itu juga perbuatan tidak sopan.

Artikel Berkaitan:

Perlu difahami dan dihayati bahawa operasi pakaian ketat yang dilakukan kerajaan Kelantan ini lebih kepada usaha mendidik umat Islam supaya mematuhi tuntutan syariat secara holistik dalam bab menutup aurat dengan sempurna.

Sebab itu Jaheik cuba beri kesedaran kepada wanita Kelantan agar menjaga tata berpakaian supaya dalam ghairah ‘berjangok’ (bergaya) mereka tidak melupakan tuntutan agama.

Mereka yang dikenakan notis akan diberi khidmat nasihat dan kaunseling supaya timbul kesedaran.

Bak kata orang tua-tua apa yang boleh dipesankan kena selalu diingatkan; yang tak boleh diingatkan kena ditegaskan!