Susahnya berfikir kritis

A
A
A

SEORANG pelajar sekolah bertanya, "Cikgu, mengapa perlu saya berfikir di luar kotak? Jika saya buat demikian, saya akan skor A?"

Ini antara soalan yang mencabar pemikiran guru. Kalau guru jawab 'Ya', pelajar itu mungkin akan persoalkan kenyataan guru kerana kakaknya tetap dapat 'A' walaupun menjawab ikut kotak skema. Jelas tak perlu berfikir di luar kotak pun untuk skor A. Hafal sahaja.

Demikian juga pelajar di pondok. Jika soalan peperiksaan berbunyi, adakah babi itu najis mughallazah, bolehkah seorang pelajar kata 'Tidak' kalau ikut Mazhab Maliki? Masalah pemikiran kritis bukan sekadar berlaku di pondok agama. Ada profesor yang terlalu mengagungkan sistem pendidikan sekular Singapura. Tapi adakah seorang guru di sekolah awam di Singapura boleh mengkritik kezaliman Zionis Israel di kelas sekolah memandangkan Singapura mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan Israel?

Prof Jordan Peterson yang sepatutnya menjadi Fellow Lawatan di Universiti Cambridge akhirnya ditarik balik tawaran itu. Prof Peterson telah mengkritik gerakan transgender. Ini telah mengakibatkan ramai mahasiswa dan pensyarah Cambridge yang dikatakan Top Ten University di dunia memprotes kehadiran ilmuwan terkenal Prof Peterson. Bahkan Prof Terulung Noam Chomsky juga menyuarakan kekecewaan apabila setengah aktivis yang mengkritik gerakan gay telah diharamkan untuk memberi syarahan di universiti-universiti Amerika yang sepatutnya bersikap 'liberal' dan bebas.

Sejauh manakah institusi pendidikan benar-benar memperjuangkan kebenaran dan autonomi mindset? Prof Yuval Harari, seorang sejarawan terkenal dari Universiti Jerusalem telah menyuarakan kebimbangannya tentang fanatisme terhadap nasionalisme. Beliau berkata bahawa nasionalisme telah memaksa pelaksanaan pelan program semula minda rakyat, bahkan genetik rakyat, agar semua hanya menjadi 'pak turut'.

Kita lihat di China, sejuta muslimin dipaksa masuk ke kem program semula agar mereka 'mencinakan' dan 'mensosialiskan' Islam atas alasan nasionalisme. Di India, gerakan Hindutva yang didokong oleh Perdana Menteri Modi berusaha menghindukan mindset rakyat. Banyak aduan telah dibuat tentang kes muslimin didera atau dibunuh hanya kerana disyaki menyimpan atau memakan daging lembu.

Tiada sebarang tindakan diambil.Kita juga lihat bagaimana ulama-ulama politik sanggup bekerjasama dengan perompak-perompak harta negara dengan memainkan sentimen ketuanan bangsa. Wacana yang dibawa bukan lagi soal ketelusan, keadilan, rahmah tetapi wacana yang menghina musuh politik dengan label-label seperti 'bekas banduan'!

Rakyat termasuk para pelajar, mahasiswa, pensyarah, ibu bapa dan 'ulama', seolah-olah tersihir dengan identiti masing-masing. Kalau identiti kami ialah muslimin, kami akan berusaha cipta permusuhan dengan yang bukan muslimin sehingga kami berjaya capai kehendak kami. Kalau identiti kami gay, kami akan cipta permusuhan dengan mereka yang bukan gay. Jika saya pemimpin Amerika, saya akan melaungkan slogan America First demi untuk cipta permusuhan dengan China!

Artikel Berkaitan:

Rakyat disatukan dalam satu parti, satu negara, satu agama, satu pemimpin hanya dengan mencipta permusuhan dengan identiti-identiti lain. Inilah yang dinamakan sebagai 'Politik Identiti' yang menjadi arus perdana dalam segenap lapangan kehidupan. Rakyat tidak lagi dididik untuk bersatu atas kebenaran dan keadilan.

Mengejar kebenaran adalah jantung budaya pemikiran kritis kreatif. Bagaimana institusi pendidikan mampu berlawan dengan arus politik identiti? Tiada universiti, sekolah, masjid yang benar-benar berautonomi jika politik identiti diutamakan, dan pemikiran kritis dihukum.

Saya tidak tahu tentang agama lain tetapi al-Quran dalam Surah Al-Baqarah: 23 begitu jelas sekali memperjuangkan budaya pemikiran kritis bila memberi ruangan kritikan yang luas. Pihak yang meragui kebenaran al-Quran dicabar untuk kemukakan satu surah di dalam al-Quran dan di minta mengumpul segala cerdik pandai demi menyahut cabaran.

Ulama klasik telah menamakan cabaran ini sebagai 'tahaddi'. Budaya tahaddi ini telah didokong oleh muslimin zaman silam sehingga menjadi tamadun dunia paling rahmatan lil-'aalamiin. Umat Islam sekarang wajib bangun kembali budaya tahaddi ini sebagai contoh mitsali berlawan arus politik identiti.