Perak larang bina menara pemancar komunikasi atas bangunan

Hasnul Zulkkarnain melayani tetamu di majlis berkenaan.
Hasnul Zulkkarnain melayani tetamu di majlis berkenaan.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memutuskan untuk tidak lagi membenarkan pembinaan menara pemancar telekomunikasi di atas bangunan, sebaliknya hanya dibina di atas tanah.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memudahkan kerja-kerja pemantauan dilaksanakan.

Menurutnya, pembinaan menara di atas tanah turut memudahkan pihak kerajaan negeri memantau serta mengawal pembinaan menara-menara 'haram' kelak.

"Kita akan kuat kuasakan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), tetapi hanya selepas mesyuarat Majlis Penasihat Infrastruktur dan Telekomunikasi (MPIT) nanti.

"Kita juga akan minta pihak Telco untuk membina menara pemancar ini hanya di atas tanah," katanya di sini, petang tadi.

Hasnul Zulkarnain berkata demikian sempena Majlis Iftar Pemuda Amanah Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, Kediaman Lama Menteri Besar Perak.

Hasnul Zulkarnain bersama anak-anak yatim serta asnaf.
Hasnul Zulkarnain bersama anak-anak yatim serta asnaf.

Hadir sama, 40 anak yatim serta asnaf dari sekitar Ipoh yang diraikan pada majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Hasnul Zulkarnain berharap agar rakyat di negeri ini memberikan kerjasama terhadap kerja-kerja pembinaan menara pemancar berkenaan kelak dalam usaha menyahut kedatangan teknologi 5G di negeri ini.

Malah katanya, pembinaan menara-menara berkenaan akan tetap mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM).

"Menara-menara ini juga akan dibina mengikut garis panduan PBT dan SKMM. Kita juga telah berjumpa dengan pihak agensi nuklear dan atom baru-baru ini dan mereka mengatakan kesan radiasi daripada menara pemancar ini adalah jauh lebih rendah berbanding radiasi pada telefon bimbit kita.

"Seperti aduan oleh penduduk di Bercham baru-baru ini berhubung pembinaan menara pemancar berkenaan sebenarnya melibatkan pembinaan menara yang belum ada kelulusan daripada PBT.

"Kita juga mohon MBI untuk sekat pembinaan menara berkenaan kerana syarikat pembinaan menara pemancar itu tidak memiliki lesen untuk membina menara seumpamanya," katanya.