Pukat tunda haram: Salahuddin minta nelayan lapor polis

Laporan Sinar Harian semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) menasihatkan nelayan di Muar yang mendakwa menerima ugutan pihak berkuasa laut untuk membuat laporan polis.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, laporan polis tersebut bagi membolehkan beliau dan kementeriannya mengambil tindakan susulan.

"Sebagai menteri saya tak boleh bertindak atas 'hear say'. Mesti ada laporan lengkap. Tetapi perkara ini dibangkitkan oleh YB Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar.

"Dan saya mengambil maklum dan perkara ini sudah pun sampai ke peringkat jawatankuasa khas Kabinet untuk kita bertindak," katanya ketika ditemui melawat premis usahawan tart nanas di Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan nelayan di Muar yang diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut selepas mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukat tunda haram: Nelayan Muar diugut selepas beri maklumat

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau perlu terlebih dahulu melihat perincian berkaitan dakwaan tersebut dan laporan polis sekiranya dibuat nelayan terbabit.

Sementara itu, menurutnya, MoA masih belum membuat keputusan sama ada mahu membenarkan tanaman guarana di negara masih malah pihaknya sedang melakukan kajian.

"Walaupun saya tidak boleh menafikan tentang punya potensi dari segi harga, tetapi setiap pelbagai tanaman yang masuk ke dalam negara ini memerlukan laporan daripada kuarantin.

"Kerana kita tidak mahu sebarang penyakit, ulat, lalat, fungus ataupun bakteria dari luar negara ini masuk. Walaupun saya tahu ia punya potensi, harga yang mahal, tetapi ia perlu melalui proses tertentu sebelum jabatan pertanian membuat pengesahan ia selamat di tanam di Malaysia atau tidak," katanya.