Rugi kalau Nurul Izzah bersembunyi di belakang: Khairy

A
A
A
KUALA LUMPUR - Tindakan Nurul Izzah Anwar berundur daripada posisi Naib Presiden PKR turut mendapat reaksi pimpinan politik Umno.

Kali ini, ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan keyakinannya bahawa Nurul Izzah akan kembali semula di barisan hadapan arena politik negara suatu hari nanti.

Malah kata Khairy sekiranya ahli Parlimen Permatang Pauh itu terus ‘bersembunyi’ di barisan belakang, ia satu kerugian yang dahsyat kepada negara.

“Nurul Izzah seorang ahli Parlimen lawan yang layak dijadikan contoh teladan.

“Saya yakin apabila negara bersedia untuk perubahan politik dalam generasi, Nurul Izzah akan kembali. Ia akan jadi kerugian yang teruk jika beliau tidak kembali ke barisan depan arena politik Malaysia,” katanya menerusi Twitter.
Artikel Berkaitan:


Hari ini selain melepaskan jawatan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang dan menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan berhubung lantikan oleh Parlimen sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau hanya kekal selaku ahli Parlimen Permatang Pauh dan ‘backbencher’ yang komited dengan agenda reformasi.