X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Hospital Kerian tidak dapat disiapkan mengikut jadual

Hasnul Zulkarnain (kiri) mengiringi Mujahid (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan duit raya kepada pesakit di wad lelaki Hospital Parit Buntar.
A
A

PARIT BUNTAR - Pembinaan hospital daerah baharu yang moden dan canggih di Kerian dijangka lewat siap melebihi tempoh dua tahun berbanding perancangan awal pada tahun depan.

Kelewatan itu berikutan masalah pelaksanaan kerja kepakaran yang akan timbul sebaik kerja pembinaan sudah disiapkan sebanyak 80 peratus.

Perkara itu didedahkan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim selepas wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Projek Khas yang ditugaskan menyelia projek hospital itu baru-baru ini menyatakan ia mustahil disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, wakil JKR bahagian projek khas itu mengambil contoh projek pembinaan pembesaran Hospital Ipoh dan Hospital Klang apabila tempoh pembinaan kedua-duanya terpaksa dilewatkan tiga tahun atas masalah teknikal.

"Bagaimanapun, bagi kerajaan PH, perkara ini perlu dinilai dan diberi penekanan serius kerana projek pembinaan Hospital Kerian yang baru amat didambakan penduduk Parit Buntar dan daerah Kerian sejak lebih sepuluh tahun lalu.

"Sekiranya lewat daripada dijanjikan, ia pasti memberi kesan negatif kepada kerajaan PH kelak," katanya kepada media pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pesakit dan kakitangan Hospital Parit Buntar di sini semalam.

Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang turut dihadiri Exco Kemudahan Awam, Infrastrutruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya difahamkan perkembangan projek baharu disiapkan sebanyak 18 peratus apabila kerja pembinaan mengalami masalah kelewatan lebih kurang tiga bulan dari waktu ditetapkan.

"Kita cuba dapatkan pandangan pelbagai pihak berkaitan namun maklum balas diberikan kontraktor dan wakil JKR amat berbeza. Pihak kontraktor memaklumkan masalah kelewatan kerja disebabkan berlaku perubahan pelan manakala wakil JKR bahagian projek khas mendakwa kontraktor dilantik bermasalah.

"Permasalahan sebenar hanya dapat diketahui bila diwujudkan satu mesyuarat penyelarasan antara semua pihak terbabit dalam projek menelan belanja RM124 juta ini," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah susulan kerajaan Perak meminta sebuah jawatankuasa khas membabitkan JKR bahagian projek khas, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dan kerajaan negeri ditubuhkan dalam tempoh terdekat.

"Penubuhan jawatankuasa itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri sentiasa menerima maklum balas mengenai perkembangan projek pembinaan Hospital Kerian setiap masa.

"Pada masa sama, pihak kami sedang berusaha membawa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk turun mengadakan lawatan ke tapak projek Hospital Kerian bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!