Latheefa dakwa pelantikan Pengerusi PKR negeri berpuak

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Biro Hal Ehwal Guaman PKR, Latheefa Koya mendakwa pelantikan Pengerusi PKR negeri dilihat seperti berkelompok dan berpuak-puak.

Katanya, perkara tersebut bukan sesuatu yang sihat, malah mengganggu dan menimbulkan kebimbangan serius

Menurutnya, pelantikan Pengerusi PKR negeri dilihat lebih terarah kepada salah satu daripada dua kumpulan utama dalam parti tersebut kecuali di Selangor dan Sarawak.

“Mengapa terdapat ketidakseimbangan yang kuat menyebelahi satu puak? Pelantikan menyebelahi satu puak merupakan kronisme dan sesuatu yang sangat dibenci bagi mana-mana parti reformasi.

"Calon Pengerusi PKR negeri yang dipilih di Pahang dan Sabah pada mulanya tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ketua cabang. Tetapi mereka menukar sokongan selepas dipanggil bertemu dengan Presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Mengambil contoh di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, Latheefa mendakwa Anwar memilih calonnya sendiri walaupun terdapat individu lain yang mendapat sokongan majoriti ketua cabang.

"Saya mempunyai salinan memorandum bertulis daripada ketua-ketua cabang negeri yang menyokong calon yang tidak terpilih.

"Walaupun presiden diberikan kuasa memilih Pengerusi PKR negeri dengan berunding dengan ketua cabang, ia sangat luar biasa dan bertentangan dengan semangat perlembagaan parti bagi presiden mengabaikan suara majoriti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengkritik pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang sedangkan bapanya itu adalah presiden parti.

"Sangat tidak sesuai dan terbuka kepada tuduhan nepotisme. Tidak perlu dikatakan bahawa amalan melantik saudara terdekat kepada jawatan penting tidak harus ada tempat dalam parti reformis," katanya.

Beliau turut mengkritik pelantikan Pengerusi PKR Kelantan yang juga bekas ahli Umno yang digantung tugas atas tuduhan politik wang.

“PKR perlu sedar bahawa parti ini sebahagian daripada kerajaan Persekutuan yang mempunyai tanggungjawab untuk pembaharuan dan mentadbir negara dengan betul.

“Jadi parti ini perlu menegakkan amalan demokrasi pada tahap yang tertinggi. Jadi pelantikan pengerusi negeri ini seolah akan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap PKR,” katanya.