NFCorp ada pembeli baru, setuju bayar hutang pinjaman

 Mohamad Salleh
Mohamad Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) telah mempunyai pembeli baru sejak 25 Oktober 2018 dan bersedia serta setuju membayar balik baki pinjaman kepada kerajaan.

Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata, pembeli baru itu akan membayar baki pinjaman sepenuhnya dalam masa tiga bulan daripada persetujuan pihak kerajaan untuk penstrukturan semula syarikat itu.

"NFCorp masih menunggu persetujuan kerajaan. Pembeli baru NFCorp sudah bersetuju mengangkat penuh tanggungan liabiliti pinjaman asal NFCorp dan bersedia membuat pembayaran penuh terhadap jumlah baki pinjaman sebenar daripada kerajaan.

"Hasrat ini telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri melalui surat bertarikh 21 November 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan akan menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFCorp bernilai RM253.6 juta.

Menurut Guan Eng, perkara ini diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Salleh berkata, pembeli baru juga telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan bertarikh 17 Mei untuk membayar balik pembayaran penuh.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Dr Mahathir, isu ini akan diselesaikan secara terbaik.

Artikel Berkaitan:

Di mana NFCorp akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada kerajaan dan projek penuh dengan potensi ini akan dibangunkan semula oleh kerajaan dan pembeli baru NFCorp," katanya.

Katanya, pembeli baru juga telah memaklumkan kepada kerajaan kesanggupan dan keyakinan mereka untuk memulihkan dan menstrukturkan semula NFCorp.

"Pembeli baru dan pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berbincang dan mengatur perancangan untuk pemulihan semula projek ini demi mencapai matlamat Keselamatan Makanan Negara, terutamanya dalam isu pengeluaran makanan yang terjamin halal," katanya.

NFCorp sebelum ini ditubuhkan bagi membangunkan industri daging lembu secara terancang, bersepadu dan mampan, namun syarikat itu gagal dalam mencapai matlamatnya selain terpalit dengan kontroversi membabitkan kewangan.