Gagal rawatan kesuburan, Atilia rancang ambil anak angkat

Atilia Haron
Atilia Haron
A
A
A

PENYANYI Atilia Haron mengakui semakin jarang menerima tawaran menyanyi melainkan dari syarikat korporat.

Menurut selebriti berusia 45 tahun ini, masa yang ada diperuntukkan untuk menjadi guru yoga di Yoga Want That I Want Studios yang beroperasi di Petaling Jaya dan Damansara.

“Saya pun tak pasti kenapa jarang dapat tawaran menyanyi. Malah sepanjang bulan puasa ini pun tidak ada apa-apa tawaran.

“Tapi saya tak ralat sebab saya tahu ramai penyanyi sekarang. Kalau ada tawaran pun biasanya untuk majlis korporat atau majlis tertutup.

“Jadi masa yang ada diperuntukkan untuk mengajar kelas yoga termasuk secara percuma setiap hari Sabtu di Taman KLCC. Bayangkan daripada lima pelajar, sekarang dah ada 40 pelajar,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar bersama anak yatim dan ibu tunggal serta ulang tahun ke-10 Celepets di Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya mengenai kehidupan peribadinya, Atilia berkata, selepas gagal menjalani rawatan kesuburan semaian benih dalam rahim atau Intrauterine Insemination (IUI), dia kini dalam perancangan untuk mengambil anak angkat.

Bagaimanapun setakat ini dia belum meletakkan sasaran bila kerana masih berbincang dengan suaminya, Adam Sofian Mazlan.

“Saya sukakan budak-budak malah dalam geng Celepets (Sazzy Falak, Dynas Mokhtar, Aishah Sinclair, Daphine Iking, Serena C, Atilia dan Yasmin Hani) semua sudah dikurniakan cahaya mata.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang sarankan saya buat IVF (rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim) tapi saya rasa agak sukar untuk berjaya memandangkan saya jenis yang aktif.

“Jadi selepas IUI tak berhasil, saya fikir ambil sahajalah anak angkat. Mana tahu dari situ ada rezeki untuk timang anak sendiri.

“Bagaimanapun semuanya masih lagi dalam perbincangan,” jelasnya.

Mengakui pernah tertekan akibat terlalu memikirkan soal cahaya mata, pemilik nama sebenar Raja Putri Atilia Raja Haron ini memilih untuk reda.

“Selepas empat tahun berkahwin dan saya pun sudah berusia 45 tahun, daripada bimbang sudah jadi tak bimbang langsung.

“Kalau boleh saya tak nak terlalu memikirkan lagi soal cahaya mata. Bayangkan tahun lepas saya mengalami depresi kerana memikirkan soal anak. Saya bertanya pada diri sendiri, kenapa saya tiada anak sedangkan abang saya sudah ada dua cahaya mata.

“Disebabkan perkara itu, saya mengalami insomnia dan sukar untuk tidur. Tapi saya ambil keputusan untuk ubah dan terima sahaja. Insya-ALLAH, kalau ALLAH nak beri Dia akan beri,” katanya.

Atilia telah mendirikan rumah tangga dengan jurutera bunyi, Adam Sofian pada Ogos 2014.

Terdahulu, anak kepada penyanyi legenda Salamiah Hassan itu pernah berkahwin dengan Ariff Johan Abdul Aziz pada Disember 1998 namun bercerai pada Januari 2009.