Perbelanjaan pembangunan Terengganu belum capai sasaran

Mohd Redzuan (dua dari kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Terengganu hari ini.
Mohd Redzuan (dua dari kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prestasi perbelanjaan pembangunan Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi tempoh 2016 hingga 2020 di Terengganu masih belum mencapai sasaran.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, sehingga hari ini prestasi perbelanjaan bagi Terengganu ialah sebanyak 19.92 peratus iaitu RM214.91 juta daripada peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.078 bilion.

“Ada banyak sebab mereka (kerajaan negeri) tidak dapat capai penuh apa yang sepatutnya dibelanjakan pada masa lalu dan melaksanakannya mengikut jadual yang dicadangkan.

“Bagaimanapun, mereka perlu terus pastikan projek ini dilaksanakan sepenuhnya supaya kita boleh mulakan RP4 tanpa menyambung daripada projek-projek yang masih belum mencapai matlamat, sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat beberapa kekangan terhadap sistem penyampaian dahulu menyebabkan kesukaran kerajaan negeri untuk menyempurnakan tanggungjawab berkenaan.

“Mungkin ada sebab-sebab seperti kelewatan pembayaran daripada kerajaan dahulu (BN). Apapun, kita boleh tambah baik dengan dapatkan maklum balas tepat daripada kementerian-kementerian tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, kerajaan negeri dilihat komited dalam mencapai matlamat masyarakat berpendapatan tinggi dan tidak bergantung dengan bantuan wang ringgit secara terus daripada kerajaan Pusat.

Artikel Berkaitan:

"Ini dapat mengurangkan kebergantungan usahawan terhadap bantuan kerajaan dalam masa yang sama membantu meningkatkan pendapatan.

“Kerajaan negeri nampaknya begitu memahami dengan memberi maklum balas seperti perumpamaan memberi ‘kail’ berbanding memberi ikan. Ia antara formula boleh dilakukan bagi mewujudkan negara keusahawanan. Apabila ada kail, mereka akan lebih berusaha,” katanya.