X

Kindly register in order to view this article
!

Sharifah Abu Salem kongsi 40 tahun pengalaman menulis

Sharifah Abu Salem
A
A

BAGI yang meminati dunia novel cinta, nama Sharifah Abu Salem sememangnya tidak asing lagi.

Idea dan nukilannya pada karya seperti Tak Seindah Mimpi, Gerimis Di Hati, Tak Semanis Impian, Pesona Rindu, Tiada Lagi Mimpi, pernah menjadi novel best-seller.

Malah tidak keterlaluan untuk meletakkan novel tulisannya sebagai karya yang tidak pernah lapuk ditelan masa.

Hanya daripada sebuah novel, ia akan mampu membikin pembacanya menangis, tersenyum, marah dan sebagainya.

Mendekati penulis berusia 58 tahun ini, Sharifah berkata, beliau mula menulis semenjak berusia sembilan tahun.

Jelas anak kelahiran Kampung Paya Seberang Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor, suasana kampung yang indah dengan pemandangan hijau sawah padi, kebun serta dusun telah membentuk jiwanya menjadi begitu akrab dan sangat mesra dengan alam. Sekali gus memberi ilham buatnya untuk berkarya.

"Antara yang menjadi pendorong untuk menulis adalah arwah bapa saya, Haji Abu Salim Ibrahim, seorang penceramah bebas ketika itu.

"Allahyarham banyak membaca kitab-kitab dan buku, kemudian menulis teks-teks ceramah yang akan disampaikan menggunakan tulisan tangan.

"Semestinya tulisan jawi di atas helaian-helaian kertas. Saya suka melihat apa yang arwah lakukan dan saya tiru. Bapak menulis bahan ceramah, tetapi saya menulis cerita.

"Apabila selesai menulis, saya akan panggil kakak dan adik untuk mendengar cerita yang saya tulis sehingga akhir.

"Kemudian saya juga berjinak-jinak menulis puisi dan banyak bercerita tentang alam. Dalam usia 14 tahun, saya sudah menghantar karya-karya saya ke beberapa majalah yang terbit ketika itu.

Sharifah Abu Salem
Sharifah Abu Salem

"Kebanyakan karya berbentuk puisi dan cerpen disiarkan dalam Dewan Pelajar, Utusan Pelajar, Majalah Bambino, Majalah Salina, Majalah Panorama, Mastika, Dewan Sastera, Alam Wanita, Kisah Cinta dan Variapop," katanya yang juga aktif dalam penulisan radio.

Tidak hanya menulis novel dan puisi, ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga merupakan seorang penulis skrip TV.

Ujarnya kebanyakan novelnya menonjol kerana adanya Alaf21 manakala tugasnya sebagai penulis skrip pula agak terbatas kerana peluang tidak banyak.

"Ketika awal terlibat dengan dunia penulisan skrip, cuma ada stesen RTM dan TV3 yang menerbitkan sendiri drama-drama siaran mereka.

"Bagaimanapun apabila drama swasta diperkenalkan, saya mendapat banyak peluang untuk menulis skrip dengan pelbagai rumah produksi.

"Menghasilkan karya berbentuk novel mahupun skrip drama bukan satu kerja mudah. Disebabkan saya sudah berada lama di dalam bidang ini, saya tidak pernah putus idea untuk menghasilkan karya.

"Alhamdulillah, ini adalah anugerah ALLAH SWT yang tidak ternilai kepada saya. Saya menganggap menulis sebagai satu tugas dan sebagai pekerjaan yang menjadi sumber rezeki. Saya tidak boleh menanti ilham datang, saya kena mencari ilham itu.

"Seperti pekerjaan lain, kerja penulisan juga perlu dirancang," jelasnya.

Kongsi ilmu, Sharifah yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam dunia penulisan berkata, menulis skrip atau novel tidak cukup dengan berangan-angan sahaja.

"Angan-angan memang perlu tetapi bukan angan-angan kosong. Jika kita ada ilmu mengenainya, semuanya akan menjadi lebih mudah.

"Ilmu itulah yang saya mahu kongsikan dengan seberapa ramai bakal penulis yang ada minat dan bakat di dalam bidang ini. Inilah matlamat saya yang seterusnya.

"Saya ingin menurunkan seberapa banyak ilmu penulisan kepada anda yang berminat. Saya akan memulakan kursus penulisan skrip drama, novel dan kewartawanan bermula Jun ini.

"Matlamat saya, ingin melahirkan seberapa ramai penulis pelapis yang berkebolehan menghasilkan karya-karya terbaik pada masa akan datang.

"Bagi yang berminat boleh ikuti media sosial Instagram saya @sharifahabusalem @Sharifahabusalemsolution dan Facebook SharifahAbuSalem, SharifahABUSalem untuk maklumat lanjut," katanya.

Ditanya harapannya dalam bidang ini, Sharifah berkata, beliau ingin melahirkan ramai penulis pelapis yang akan tampil dengan banyak karya bermutu dan bermanfaat kepada pembaca.

"Saya berharap mereka boleh melahirkan karya-karya yang jujur, karya yang sesuai untuk bacaan sepanjang zaman dan menjadi rujukan kepada generasi berikutnya.

"Saya juga mahu melihat penulis-penulis yang komited dan bertanggungjawab untuk melahirkan anak bangsa yang berilmu, yang berhemah dan mempunyai prinsip serta jati diri yang kuat.

"Bahan penulisan memain peranan dalam membentuk bangsa berilmu. Tulislah apa sahaja, selagi ia memberi manfaat dan tidak merosakkan pemikiran masyarakat.

"Sama ada anda penulis kreatif atau wartawan, kita sama-sama bertanggungjawab membentuk supaya anak bangsa kita bijak dan berfikiran positif demi kejayaan negara di samping memelihara kesucian agama," ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus