Ikatan bidas kenyataan Guan Eng yang tutup kegagalan sendiri

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan-kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai ekonomi negara hanya menutup kegagalan beliau sendiri apabila berdepan isu ini, demikian bidas Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Guan Eng juga tidak mencerminkan kelulusannya sebagai akauntan profesional seperti dicanang DAP.

"Alasan sama didendangkan setiap kali dihujani soalan ekonomi negara iaitu salah pentadbiran kerajaan BN dan perang dagang Amerika Syarikat dan China. Guan Eng harus teliti dalam menyalahkan kerajaan BN kerana fakta perbandingan tidak boleh ditipu.

"Berkaitan perang dagang Amerika Syarikat dan China, kenapa pelabur keluar dari Malaysia dan ringgit bertambah lemah, walhal ekonomi negara serantau seperti Indonesia dan Thailand makin mengukuh. Kenyataan dangkal sebegini hanyalah jawapan umum untuk menutup kegagalan diri sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) oleh Guan Eng hanya retorik untuk menunjukkan kerajaan PH memperbaiki ekonomi negara sejak pemerintahan BN.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, daripada sejumlah RM21.7 bilion, RM8.4 bilion adalah dari Jepun; RM3.7 bilion dari Austria dan RM2.8 bilion dari Hong Kong. RM8.4 bilion tersebut merupakan hasil penjualan aset Khazanah kepada Mitsui.

"RM3.7 bilion merupakan hasil penjualan pemilikan 50 peratus saham Sapura Upstream Sdn Bhd oleh syarikat minyak OMV berpangkalan di Australia. Berdasarkan kamus Menteri Kewangan, adakah penjualan aset-aset negara kita menjadi penanda aras FDI?," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Daya tahan ekonomi negara terus tinggi: Guan Eng

Artikel Berkaitan:

Semalam, Guan Eng menerusi perutusan khas sempena sambutan Hari Wesak berkata, daya tahan ekonomi Malaysia terus tinggi apabila negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.5 peratus walaupun berdepan dengan ketidaktentuan cabaran luaran.

Beliau berkata, kepastian, kejelasan dan konsisten dasar yang disediakan kerajaan telah membolehkan ekonomi negara berkembang setinggi 4.5 peratus dalam suku tahun pertama 2019, mengatasi jangkaan pasaran serendah 4.3 peratus.

"Pertumbuhan 4.5 peratus ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi semasa berdepan dengan ketidaktentuan cabaran luaran yang timbul akibat perang dagang antara AS dan China.

"Ini adalah satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini.

Guan Eng berkata, usaha pemulihan nasional melalui pembaharuan institusi mendatangkan hasil yang baik apabila lebihan akaun semasa, pelaburan langsung asing (FDI) yang direalisasikan dan kemasukan pelancong untuk suku pertama 2019 telah meningkat secara signifikan.

"Pelaburan langsung asing yang direalisasikan pula naik sebanyak 94.8 peratus kepada RM21.7 bilion berbanding RM11.2 bilion setahun lalu. FDI yang direalisasikan adalah pelaburan asing yang telah dibuat untuk tempoh tersebut. Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas Kerajaan dan negara Malaysia.

"FDI sebanyak RM21.7 bilion ini adalah yang tertinggi dalam sejarah Malaysia bagi satu suku. Pelaburan yang direalisasikan ini akan meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Jelas beliau, lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion daripada Jepun, RM3.7 bilion daripada Austria dan RM2.8 bilion daripada Hong Kong.

"Kerajaan berharap keyakinan yang ditonjolkan pelabur asing akan membantu meningkatkan pelaburan domestik syarikat tempatan bagi memantapkan lagi pertumbuhan negara," ujar beliau.