Diabetes: Keturunan atau apa?

Mitos dan tanggapan orang ramai perlu dibersihkan

A
A
A

Kira-kira 2.5 juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit diabetes dan statistik dalam rekod Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) menunjukkan hampir separuh daripada rakyat negara ini tidak sedar mereka menghidap kencing manis.

Penyakit diabetes atau kencing manis ini kedengaran seperti penyakit biasa-biasa sahaja. Namun jangan terkejut, penyakit ini mampu menjadi pembunuh senyap (silent killer), melalui komplikasi secara perlahan-lahan dengan menyerang organ penting tubuh manusia seperti strok, kerosakan saraf, kebutaan, masalah jantung, komplikasi buah pinggang, gangguan ereksi dan masalah pembuluh darah.

Diabetes adalah sejenis penyakit dengan keadaan hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah) akibat gangguan pada sistem metabolisme tubuh di mana organ penting pankreas tidak mampu menghasilkan hormon insulin. Sepatutnya hormon ini bertanggungjawab mengawal kadar gula dalam darah untuk menghasilkan proses karbohidrat, lemak dan protein menjadi tenaga diperlukan dalam tubuh manusia.



Bersama Pegawai Perubatan Sarjana, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim untuk mengetahui perkara lanjut berkaitan diabetes.

Penyakit kencing manis dikategorikan kepada:

Diabetes jenis pertama (I)

Dikenali sebagai diabetes bersandarkan kepada insulin (Insulin Dependent Diabetes Melitus) atau diabetes awal remaja. Dicirikan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Mula mendapat simptom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Kegagalan insulin secara semula jadi ini pesakit memerlukan suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah.

Diabetes jenis kedua (II)

Disebabkan kerintangan insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) atau boleh dikatakan penghasilan insulin berkurangan. Diabetes jenis II masih ada sedikit insulin dari pankreas, boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, menurunkan berat badan, bersenam dan pengambilan ubat. Berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk masalah genetik dan gaya hidup yang tidak sihat. Suntikan insulin akan diperlukan sekiranya ubat secara makan tidak berkesan atau ia memberi kesan sampingan kepada pesakit.

Diabetes Gestasi

Dialami oleh wanita ketika kehamilan. Lebih mirip diabetes jenis II disebabkan ketika kehamilan, insulin yang diperlukan lebih kepada keperluan bayi yang di kandung. Jika badan ibu tidak mampu menghasilkan insulin tambahan untuk anak dalam kandungan, ibu akan mengalami paras gula dalam darah yang tinggi.

Pradiabetes

Dikenali sebagai toleransi glukosa terjejas, IGT adalah pelopor kepada diabetes. Peringkat tahap glukosa (gula) darah lebih tinggi daripada normal tetapi tidak cukup tinggi (lagi) diklasifikasikan sebagai diabetes (jenis 2). Pradiabetes tidak mempunyai sebarang gejala, hanya dapat disahkan berdasarkan tahap glukosa darah.

Artikel Berkaitan:

Graf Carta Diabetes
Graf Carta Diabetes



Berapa ramai pesakit diabetes di Malaysia?

Wabak diabetes (khususnya bagi jenis 2) telah meningkat ke tahap wabak di seluruh dunia, terutama di negara-negara membangun termasuk Malaysia. Menurut angka terkini IDF (Persekutuan Diabetes Antarabangsa), satu bagi sebelas orang dewasa (415 juta) mempunyai penyakit diabetes pada tahun 2015. Dijangka meningkat kepada satu bagi sepuluh atau 642 juta menjelang 2040. Manakala dianggarkan 542,000 kanak-kanak mungkin mempunyai diabetes jenis 1.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011, dengan mengguna ujian darah cucuk jari berpuasa, menunjukkan bahawa 20.8% daripada subjek berumur 30 tahun ke atas mempunyai penyakit diabetes, satu peningkatan sebanyak 230% berbanding angka pada tahun 1986 (6.3%). Walau bagaimanapun, kita mungkin dalam keadaan yang lebih buruk kerana sejak tahun 2008, kajian lengkap menggunakan standard emas OGTT (Ujian Toleransi Glukosa Oral) oleh kumpulan MSSM (Kajian Sindrom Metabolik Malaysia) telah pun melaporkan prevalens setinggi 22.3%.

Berdasarkan statistik Institut Kesihatan Umum (IKU) pada tahun 2015 (kajian penyakit diabetes dibuat setiap lima tahun sekali) menyatakan semakin berusia pesakit penghidap diabetes semakin tinggi risikonya. Graf menunjukkan pada umur 25-29 tahun berlaku peningkatan jumlah pesakit diabetes, pada peringkat umur 55- 59 tahun jumlah paling banyak dicatat iaitu sebanyak 416,832 pesakit diabetes. Menjadikan jumlah pesakit diabetes pada tahun 2015 sebanyak 3529,804 orang. Angka tersebut telah menjadikan Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia.