Saran nilai baucar Jom Shopping dinaikkan

Mohd Najwan (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima baucar Jom Shopping di Giant Seksyen 13, kelmarin.
Mohd Najwan (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima baucar Jom Shopping di Giant Seksyen 13, kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor disarankan supaya mempertimbangkan kenaikan kadar insentif sumbangan baucar membeli-belah bagi program Jom Shopping sebanyak RM100 kepada jumlah bersesuaian seiring dengan keperluan semasa yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata, sejak program tersebut diperkenalkan kerajaan negeri pada 2011, kadar insentif diberikan masih sama iaitu RM100.

Beliau berkata, pihaknya melihat terdapat keperluan untuk kadar insentif itu dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM200.

"Kita maklum jumlah kewangan negeri semakin kukuh, malah pelaburan juga semakin banyak masuk ke negeri ini.

"Kita berharap dengan kemampuan dimiliki kerajaan negeri, dapat dimanfaatkan dengan menambah baik program ini daripada segi amaunnya yang pasti akan memberi nilai tambah kepada penerima," katanya.

Mohd Najwan berkata, 800 penerima baucar Jom Shopping bawah DUN Kota Anggerik diraikan di Giant Seksyen 13, di sini, pada semalam dan kelmarin.

Menurutnya, rata-rata penerima terdiri daripada warga emas serta ibu tunggal berpendapatan rendah yang dilihat layak untuk menerima bantuan menerusi program itu.

"Saya sendiri turun padang menemani mereka membeli barangan keperluan tersebut. Semalam (kelmarin) kita raikan 400 orang penerima dan hari ini, seramai 400 orang lagi yang melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM80,000.

Artikel Berkaitan:

"Semoga insentif kecil ini dapat meringankan beban mereka untuk membuat persediaan Aidilfitri," katanya.