Hanya mampu berteduh bawah kanvas

Bangsal didiami Nohaslinda bersama suami dan empat orang anaknya.
Bangsal didiami Nohaslinda bersama suami dan empat orang anaknya.
A
A
A

PONTIAN - Sukar dipercayai masih ada keluarga tinggal di bawah kanvas bersama anak kecil berhujan dan berpanas saban hari.

Namun itulah kehidupan diharungi Hasreen Sairi, 38, bersama isteri, Norhaslinda Abdul Rahman, 33, bersama empat orang anak berusia 11 hingga 2 tahun sejak enam bulan lalu.

Mereka sekeluarga sedang menunggu rumah baharu dibina atas sumbangan beberapa individu.

Menerusi program ziarah dilakukan Persatuan Pontian Outdoor, Sinar Harian dibawa melihat sendiri keadaan keluarga berkenaan di Kampung Maju Jaya Pekan Nanas.

Seramai 15 orang ahli persatuan diketuai Abdul Samad Samiran, 46, kemudiannya bergotong-royong membaiki bangsal beralaskan kayu dan berbumbungkan kanvas itu.

Bagi Norhaslinda, dia amat menghargai kerja-kerja membaiki bangsal yang dilakukan itu memandangkan keadaannya agak teruk terutama ketika hujan.

Tempat tidur yang turut dijadikan tempat menyidai pakaian.
Tempat tidur yang turut dijadikan tempat menyidai pakaian.

Katanya, dia sekeluarga mula tinggal di bangsal itu sejak awal tahun ini kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

Artikel Berkaitan:

“Bangsal ini didirikan atas tanah milik suami. Kami memang bercita-cita hendak bina rumah, tetapi tiada wang. Suami bekerja sebagai pemotong rumput dan melakukan kerja-kerja kampung sahaja.

“Hendak bayar sewa rumah pun tak mampu. Sudah banyak rumah kami sewa sebelum ini. Sebulan dalam RM500 sewa,” katanya.

Bagaimanapun, keluarga ini cukup bertuah kerana ada beberapa individu tampil membantu membina rumah baharu buatnya di sebelah bangsal tersebut.

Rumah baharu tersebut masih dalam pembinaan dengan kerja-kerja telah dimulakan sejak seminggu.

Keadaan barang yang disusun dalam bangsal.
Keadaan barang yang disusun dalam bangsal.

Sementara itu, Abdul Samad Samiran berkata, walaupun rumah baharu sedang dibina, namun keluarga terbabit masih berteduh di bawah kanvas dengan keadaan bangsal yang cukup menyedihkan tanpa kemudahan elektrik mahupun bekalan air bersih.

Katanya, gotong–royong dilakukan pihak persatuan lebih tertumpu kepada kerja-kerja membetulkan kanvas.

“Sekarang ini musim hujan, jadi kami mahu bantu keluarga ini dengan betulkan kanvas supaya mereka dapat berteduh dalam keadaan lebih baik tanpa risau kanvas bocor.

“Diharapkan apa yang dilakukan ini dapat meringankan beban keluarga ini,” katanya.