Undur diri demi kelangsungan Umno

Md jais
Md jais
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar mengundurkan diri kerana dilihat tidak mampu untuk mengurus dan mengemudikan parti.

Bendahari Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, sehingga kini, ahli parti masih menunggu arah atau hala tuju yang jelas daripada presiden parti termasuklah penterjemahan teras dan langkah dinyatakan ketika ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno lalu.

"Tapi apa yang berlaku, apabila presiden turun ke negeri-negeri termasuklah Johor, beliau lebih kepada menerangkan setiap pertuduhan (yang dianggap sebagai pendakwaan terpilih) dihadapinya.

"Sedangkan ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi menunggukan apa seterusnya. Beliau tidak nyatakan perkara sepatutnya apabila turun ke negeri-negeri," katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Md Jais berkata, Johor ada membuat teguran terhadap Ahmad Zahid dan memintanya berehat supaya beliau dapat memberikan tumpuan penuh terhadap kes atau pertuduhan dihadapinya, namun ia tidak berlaku.

Katanya, atas sebab itu, apa yang berlaku pada masa kini adalah Umno sudah mempunyai empat pecahan kumpulan.

"Kumpulan pertama, mereka yang mahukan parti bangkit dengan semangat perjuangan untuk memelihara agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air, selain menjadi pembangkang yang berwibawa, khususnya di Parlimen serta Dun.”

"Kumpulan kedua, mereka yang mahu Umno bekerjasama dengan Pas dan seterusnya mewujudkan satu gerakan kesedaran orang Melayu dan mempertahankan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara.”

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan ketiga pula, kumpulan yang mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Ini mungkin kerana ada janji tertentu, di samping berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mendapat laluan mudah sepertimana dalam perjanjian PH.”

"Dan kumpulan keempat, mereka yang mahu memperkukuhkan suara Melayu di dalam kerajaan. Sebab itu ramai keluar parti dan kebanyakannya lebih ke arah menyertai Bersatu," katanya.

Ketua Umno Bahagian Kluang itu berkata, dalam keadaan parti yang sudah berpecah kepada empat kumpulan pada masa kini, Ahmad Zahid dilihat oleh umum sebagai gagal untuk mengemudikan Umno.

"Beliau dilihat gagal menterjemahkan hala tuju seperti dinyatakan dalam ucapan dasar. Tidak berwibawa untuk mengawal parti sehingga wujud empat kumpulan dalam Umno.”

"Sebab itu, sebahagian ahli akar umbi Umno dan sebahagian besar orang awam melihat adalah lebih baik presiden parti ambil langkah wajar dengan mengundurkan diri buat sementara waktu.

"Jika tidak, parti akan terumbang-ambing dan orang awam tidak yakin dengan kebangkitan Umno," katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan Umno akan menjadi parti yang kecil jumlah Ahli Parlimennya pada masa akan datang, meskipun mempunyai angka teramai pasca PRU14 berbanding komponen PH yang berjaya membentuk kerajaan.

Selain itu, Md Jais juga memberi amaran kepada mana-mana ahli dan pemimpin parti agar tidak mempersendakan mereka yang keluar dan meninggalkan parti.

"Ini kerana mereka akan keluar bersama dengan penyokong-penyokong," katanya.

Secara jelas, beliau berpandangan adalah lebih baik Ahmad Zahid mencontohi langkah Datuk Seri Mohd Najib Razak dan berundur bagi memberi tumpuan terhadap pendakwaan dihadapinya.

"Apa salahnya berjiwa besar dan mengundurkan diri untuk sementara waktu.

"Bagi saya ini adalah suatu pengorbanan yang besar ertinya demi kelangsungan parti keramat yang telah banyak jasanya ini. Melangkah setapak ke belakang bukan bererti kita tewas.” katanya.