Persembahan Madonna cetus kontroversi

Kedua-dua penari pengiring Madonna yang memakai bendera kebangsaan Israel dan Palestin.
Kedua-dua penari pengiring Madonna yang memakai bendera kebangsaan Israel dan Palestin.
A
A
A

TEL AVIV - Persembahan bertenaga Madonna yang menjadi artis jemputan dalam pertandingan nyanyian, Eurovision di Israel telah mencetuskan kontroversi kelmarin.

Bintang popular tersebut tampil mempersembahkan lagu hit pada 1989, Like A Prayer dan single terbaharunya berjudul Future.

Pada akhir persembahan lagu kedua, dua penari pengiring yang memakai bendera kebangsaan Israel dan Palestin pada belakang tubuh masing-masing turut berjalan sambil memeluk tangan antara satu sama lain yang dilihat sebagai kenyataan politik terhadap konflik berterusan di rantau terbabit.

Di bawah langkah simbolik, beberapa penari lain juga menjatuhkan tubuh masing-masing ke lantai sambil memakai topeng gas sebagai penutup persembahan Madonna dan penyanyi rap Amerika Syarikat, Quavo yang berjalan bersama serentak dengan perkataan 'bangkit' muncul di belakang mereka.

Sejurus acara itu tamat, Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) yang menjadi penerbit bersama pertandingan itu bersama stesen penyiar Israel, KAN bertindak segera mengeluarkan kenyataan.

"Elemen persembahan itu tidak diperjelaskan kepada EBU dan KAN. Pertandingan Eurovision bukan satu acara politik dan Madonna tahu tentang perkara itu," katanya.

Awal minggu lalu, penyanyi berusia 60 tahun itu mengeluarkan kenyataan tegas bahawa dia akan sentiasa bersuara untuk mempertahankan hak asasi manusia dan berharap dapat melihat jalan baharu menuju perdamaian.

Difahamkan, persembahan itu turut menerima pelbagai reaksi dan ada segelintir yang memuji usahanya kerana menggunakan platform tersebut untuk menyampaikan mesej perdamaian. - Al-Jazeera

Artikel Berkaitan: