PTPTN terbuka semua cadangan proses bayaran balik

Wan Saiful (enam dari kiri) bersama wakil parlimen di seluruh Kedah yang menerima sumbangan Zakat PTPTN.
A
A

JERLUN - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mempertimbangkan semua kaedah termasuk memberikan insentif bagi memastikan proses bayaran balik peminjam dapat dilakukan lebih berkesan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan itu diterima pihaknya dan perlu diutarakan semua pihak ke dalam portal perbadanan itu di Bahagian A iaitu data dan fakta dan Bahagian B yang melibatkan idea dari sesi meja bulat.

"Kita kumpul pandangan itu dulu. Saya kena amanah dengan semua pandangan, ada yang baik ada yang tak selesa tapi kita tidak boleh kata jangan bagi pandangan.

"Dalam hal ini tak wajar saya kata saya suka idea itu dan saya tidak suka pada idea yang satu lagi. Kita kumpul dan angkat semua cadangan dan beri kepada Kementerian Pendidikan," katanya pada Program Jelajah Ramadan PTPTN Prihatin di Pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerlun di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan diutarakan penganalisis ekonomi, Prof Dr Madeline Berma yang berpendapat pemberian insentif dapat menggalakkan peminjam dan memudahkan untuk membayar balik hutang.

Menurutnya, kertas konsultasi yang sedang diusahakan pihaknya penting supaya semua pihak dapat memberikan pandangan dan cadangan.

"Semua pihak boleh mengeluarkan sebarang pandangan melalui semua medium media sosial tapi kita ada saluran rasmi di portal PTPTN.

"Ada faedahnya untuk sesiapa beri komentar tapi dari segi maklumat itu tak sampai jadi ia satu kerugian. Selepas perang dalam WhatApps dan gaduh dalam Facebook, mereka boleh ke laman rasmi dan beri pandangan," katanya.

Wan Saiful berkata, bermula pada minggu ini pihaknya akan mengadakan taklimat umum dan menjemput semua pihak untuk sama-sama ke beberapa lokasi yang ditetapkan.

"Kebanyakan tempat yang kita pilih dan adakan 'townhall' bermula 25 Mei ini ialah universiti di beberapa tempat di seluruh negara kerana yang terkesan dalam hal ini adalah mahasiswa," katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan zakat PTPTN untuk Kedah berjumlah RM202,500.

"Negeri lain juga akan menerima sumbangan zakat ini namun ia berbeza-beza mengikut negeri. Jumlah zakat keseluruhan 2018 yang disumbangkan adalah berjumlah lebih RM7 juta," katanya.