Post mortem bazar Ramadan Jalan Raja lepas raya: Khalid

Khalid (dua, kanan) ketika menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang kepada golongan asnaf pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya 2019 dan Penyerahan Van Jenazah di Sekolah Kebangsaan Sri Rampai hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi 'post-mortem’ berhubung pelaksanaan bazar Ramadan baharu di Jalan Raja, Dataran Merdeka, di sini, selepas Aidilfitri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata pihaknya memerlukan sedikit masa untuk melakukan penilaian terhadap perkara berbangkit termasuk aspek kelemahan, masalah, cadangan penambahbaikan dan aduan peniaga yang berpindah dari tapak lama di lorong Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

"Kita dengar berita mengatakan tapak baharu bazar tersebut tidak ramai yang datang, tetapi semalam saya nampak bazar tersebut dibanjiri ramai pengunjung sehingga orang ramai sukar untuk berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada 1,750 penerima golongan asnaf Wilayah Persekutuan di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Rampai, di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Khalid turut menyempurnakan penyerahan sebuah van jenazah kepada Pusat Tahfiz Al- Madrasathul Faridiyah sumbangan Maha Mas Medic Services Sdn Bhd. - Bernama