Abang bomba tadarus, solat tarawih di balai

Imran (tengah) bersama anggotanya bertadarus sepanjang Ramadan.
A
A

RANTAU PANJANG - Kesibukan tugas sama sekali tidak menghalang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang memanfaatkan keberkatan bulan Ramadan dengan mengikuti kelas tadarus al-Quran.

Selain tadarus al-Quran, solat sunat tarawih turut diadakan bagi memberikan kemudahan kepada anggota untuk merebut ganjaran pahala di bulan penuh berkat itu.

Ketua Balai, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, kelas yang berlangsung setiap pagi itu turut berperanan memperbaiki bacaan al-Quran dari segi sebutan dan tajwid di bawah pimpinan Pegawai Bomba Kanan 1, Zaimi Samat.

"Kelas tadarus ini adalah hasil idea spontan yang dilontarkan oleh Zaimi pada hari pertama umat Islam berpuasa.

"Sejurus mendengar idea itu, saya tanpa berfikir panjang terus bersetuju, lagipun Zaimi mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang agama," katanya.

Menurutnya, setiap pagi anggota bertugas akan mengikuti kelas tersebut termasuklah pada hari minggu Jumaat dan Sabtu.

Katanya, sehingga hari ini mereka sudah memasuki juzuk An-Nisa.

"Setiap hari kita akan baca al-Quran sebanyak lima muka surat.

Acara moreh turut diadakan selepas tarawih setiap malam.
Acara moreh turut diadakan selepas tarawih setiap malam.

"Apa yang kami lakukan ini adalah salah satu usaha untuk menyemarakkan lagi kelebihan Ramadan yang merupakan bulan turunnya al-Quran.

"Saya berharap semangat membaca al-Quran ini akan terus berkekalan sepanjang masa," katanya.

Mengulas mengenai solat tarawih, Imran berkata ia diwujudkan untuk memberikan kemudahan kepada anggota bertugas menunaikan ibadat tersebut.

Katanya, solat tarawih itu dipimpin oleh pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Riyad.

"Ini adalah satu lagi usaha kita supaya anggota tidak terlepas peluang untuk menunaikan solat sunat tarawih.

"Selain itu, seramai 23 anggota akan bergilir-gilir menyediakan 'moreh' sejurus selesai solat tarawih," katanya.

Imran berkata, program tadarus al-Quran dan solat sunat tarawih itu sama sekali tidak mengganggu tugas hakiki sebagai anggota bomba.

Katanya, tugas membantu dan menyelamat tetap menjadi keutamaan buat pasukan berkenaan.