Jabatan Kesihatan Kedah terima laporan kes mercun

Datuk Dr Norhizan Ismail
A
A

SIK - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan kejadian kes kecederaan serius pada tangan kiri seorang lelaki akibat mercun bola di daerah ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pada 18 Mei lalu jam 4.20 petang, Jabatan Kecemasan Hospital Sik telah menerima satu kes iaitu seorang lelaki Melayu berumur 34 tahun mengalami kecederaan serius akibat letupan mercun bola.

Menurutnya, lelaki itu dihantar oleh orang awam ke hospital.

"Lelaki berkenaan yang mengerang dan berguling dalam kesakitan telah ditemui bersendirian oleh orang awam di tepi jalan.

"Berdasarkan maklumat pesakit, sebelum kejadian, beliau sedang memegang empat biji mercun bola dengan tangan kiri sambil menghisap rokok dan tanpa sengaja ternyalakan sumbu mercun dan menyebabkan letupan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di Hospital Sik, rawatan kecemasan segera diberikan bagi meredakan kesakitan pesakit tersebut.

"Pemeriksaan mendapati lelaki itu dalam keadaan stabil. Mangsa mengalami kecederaan serius pada tangan kiri di mana jari manis dan jari kelingking luka teruk dengan menampakan tulang jari berkenaan yang turut patah melalui ujian x-ray yang dijalankan.

"Pihak Hospital Sik turut mendapatkan bantuan pihakn bomba bagi menanggalkan cincin dari jari beliau. Pemeriksaan turut mendapati kesan terbakar pada dada mangsa.

Beliau berkata, lelaki itu telah dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani pada 18 Mei jam 8 malam untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, ini merupakan kes pertama yang diterima pihak Jabatan Kesihatan Negeri.