Hentikan politik sempit, tumpu pembangunan ekonomi negara

Abu Bakar Yahya
A
A

KAJANG - Semua pihak digesa menghentikan permainan politik sempit antara parti sebaliknya memberi tumpuan ke arah membantu kerajaan membangunkan semula ekonomi negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, pelan pemulihan ekonomi negara yang dilaksanakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini berada di landasan yang betul.

"Insya-ALLAH ekonomi kita akan kembali pulih. Kita harus meletakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri dan jangan bercerita (terlalu fokus) kepada hal-hal politik dan PRU yang lalu.

"Apa yang penting adalah rakyat perlu berganding bahu membantu kerajaan. Tanpa sokongan dan dokongan rakyat, langkah pemulihan ekonomi ini lambat untuk dicapai," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan kepada Asnaf di Bandar Puteri Bangi, di sini malam tadi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Bersatu Bahagian Serdang, Datuk Dr Sukiman Sarmani dan Pengerusi Perwakilan Penduduk Zon 24, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Zainurin Arifin.

Mengulas lanjut, Abu Bakar menyifatkan Malaysia mempunyai daya tahan yang tinggi selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus bagi suku pertama tahun ini meskipun berdepan dengan ketidaktentuan faktor luaran khususnya perang dagangan di antara Amerika Syarikat dengan China.

Fakta itu katanya diumumkan oleh Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Yunus dan dilaporkan media pada 16 Mei lalu diikuti oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi perutusan Hari Wesak yang disambut hari ini.

"Jika indikator ini kita ambil kira, maka kita boleh yakin bahawa perancangan kerajaan dalam menyusun atur ekonomi negara sedang berjalan dengan baik ditambah pula dengan asas ekonomi yang kukuh serta keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia," ujarnya.