Tiga gol awal Jang bunuh Kelantan

Yusri anggap tiga gol awal Negeri Sembilan membunuh semangat juang pemain Kelantan, pada pertemuan Liga Premier di Paroi, malam tadi.
Yusri anggap tiga gol awal Negeri Sembilan membunuh semangat juang pemain Kelantan, pada pertemuan Liga Premier di Paroi, malam tadi.
A
A
A

TIGA jaringan awal bukan sahaja membolehkan Negeri Sembilan meraih kemenangan bergaya malah membunuh semangat juang Kelantan lebih awal dalam pertemuan Liga Premier di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mengakui jaringan Jose Almir Neto dan Igor Luiz dalam babak pertama menyebabkan pasukannya sukar untuk bangkit mencuri sekurang-kurangnya satu mata, pada pertemuan tersebut.

“Saya akur dengan kekalahan ini kerana dalam separuh mata pertama memang saya tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain.

“Namun mereka telah mengubah sikap dan keinginan untuk bersaing dalam babak kedua dan akhirnya kita diberikan sepakan penalti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada pertemuan tersebut, Negeri Sembilan yang dibimbing Mohd Zan Mat Aris mengulangi kejayaan seperti pusingan pertama lalu apabila sekali lagi mengecewakan Kelantan dengan keputusan 3-1.

Almir Neto membuka akaun jaringan seawal minit kelima disusuli dua gol sumbangan penyerang import baharu Brazil, Luiz (m-26, 28) manakala sepakan penalti Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-68) sekadar menghadiahkan gol sagu hati buat Kelantan.

Yusri menjelaskan, beraksi dengan pemain tempatan ternyata sukar buat The Red Warriors ketika skuad Jang tampil dengan corak permainan penuh bertenaga dibantu pemain import mereka.

Menurutnya, dia terpaksa melakukan perjudian dengan memasukkan Cassio de Jesus walaupun pemain import tunggal kelahiran Brazil itu masih belum pulih daripada kecederaan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak dapat mempamerkan perwatakan sebenar disebabkan ketandusan pemain import malah jika dilihat kehadiran semula Cassio, sebenarnya saya agak risau kerana dia masih lagi mengalami kecederaan.

“Alhamdulillah kecederaan itu tidak menganggu dia biarpun saya akui tahap keyakinannya tidak seperti dahulu namun setidak-tidaknya kehadirannya dapat menyuntik semangat pemain, harap-harap ini dapat mengubah kedudukan pasukan pada aksi akan datang,” katanya.