Dua pusat hiburan diserbu, lima ditahan

Serbuan di salah sebuah pusat hiburan daripada dua premis yang dijalankan di daerah Pontian, malam tadi.
A
A

PONTIAN - Seramai lima individu ditahan dalam serbuan di dua buah pusat hiburan sekitar daerah ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, operasi bermula jam 11 malam itu dijalankan serentak dengan sekatan jalan raya di sekitar bandar Pontian.

Menurut beliau, daripada yang ditahan itu, dua daripadanya merupakan wanita warga Thailand.

“Kesemua mereka berumur antara 25 dan 36 tahun dan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(2) dan 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ), Seksyen 55 B (1) dan 6 (1) Akta Imigresen 1953/63 serta Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1953/1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekatan jalan raya di sekitar daerah Pontian yang dijalankan malam tadi.
Sekatan jalan raya di sekitar daerah Pontian yang dijalankan malam tadi.

Sementara itu, sebanyak 49 saman atas pelbagai kesalahan dengan sembilan kenderaan disita dalam sekatan jalan raya yang dilakukan malam tadi.

Mustafa meminta masyarakat sentiasa membantu dalam pencegahan jenayah dengan melaporkan maklumat kepada polis terutama dalam musim perayaan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.