Polis mohon kerjasama awam kesan Amirul

Keratan siaran Sinar Harian pada 6 Mei lalu mengenai kehilangan Amirul Izwan sejak 21 April lalu dan gambar Amirul Izwan (kanan) bersama ibunya yang sehingga kini masih hilang.
Keratan siaran Sinar Harian pada 6 Mei lalu mengenai kehilangan Amirul Izwan sejak 21 April lalu dan gambar Amirul Izwan (kanan) bersama ibunya yang sehingga kini masih hilang.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Pihak polis memohon kerjasama orang ramai supaya dapat membantu mengesan seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 21 April lalu.

Muhamad Amirul Izwan Mohd Isa, 25, dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Permatang, seorang diri dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna merah.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, sehingga kini lelaki terbabit masih belum ditemui dan hebahan media dibuat atas kebenaran ahli keluarga terbabit.

“Anak sulung dari tiga beradik itu dikategorikan OKU lembam dengan ketinggian 154 sentimeter, berat dianggarkan 45 hingga 50 kilogram.

“Kali terakhir dilihat memakai baju kemeja-T berkolar berwarna merah tua berjalur dengan berseluar jeans berwarna biru,” katanya memaklumkan siasatan diteruskan di bawah kes orang hilang.

Md Asri berkata, lelaki terbabit dikatakan tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Sarjan Mejar Yusof Dongah di talian 0332891222.

“Mereka juga boleh menghubungi terus ibu lelaki terbabit, Siti Aminah Jakon di talian 0172131931 atau terus ke balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Siti Aminah Jakon, 52, gusar memikirkan keselamatan anak sulungnya yang masih hilang tanpa khabar berita.

“Sudah hampir sebulan Amirul hilang...dia tak pernah buat macam ni. Hati mak mana yang tak risau memikirkan anak entah kat mana.

"Lagi-lagi Ramadan ni lagilah makcik risau dia makan ke tidak. Harap sangat dapat jumpa dia.

“Ada juga minta tolong saudara mara dan jiran cari Amirul tapi semuanya buntu,” katanya yang menjual nasi lemak sebagai sumber pendapatan.

Siti Aminah bimbang dengan keselamatan anaknya kerana tiada dokumen diri dan keluar sehelai sepinggang sahaja.

“Amirul anak yang baik dan tidak akan tergamak melakukan perbuatan ini. Air mata ni juga sudah kering kerana setiap hari menangis memikirkannya.

“Makcik cuma mahu dia segera pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya yang turut membuat laporan polis di IPD Kuala Selangor.