Kesilapan sendiri punca Melaka United tewas

Ketua pasukan Melaka United, Shukor Adan (kiri) mengasak penyerang Kedah, Fenando Ortega yang berusaha untuk masuk ke dalam kotak penalti pasukan pelawat.
Ketua pasukan Melaka United, Shukor Adan (kiri) mengasak penyerang Kedah, Fenando Ortega yang berusaha untuk masuk ke dalam kotak penalti pasukan pelawat.
A
A
A

DUA kesilapan sendiri menyaksikan Melaka United berputih mata apabila tewas kepada Kedah 2-1 pada aksi ke-15 Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman biarpun terlebih dahulu berada di hadapan pada perlawanan tersebut.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan berkata, beliau memuji corak permainan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya terutamanya pada separuh masa pertama kerana berjaya menjaringkan gol pada minit ke-31 menerusi Luka Milunovic walaupun banyak bertahan.

Bagaimanapun, pasukannya gagal mempamerkan disiplin yang tinggi pada separuh masa kedua dan ia membuka ruang kepada Lang Merah bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-60 hasil tandukan Baddrol Bakhtiar dan tuan rumah berjaya berada di hadapan pada minit ke-71 hasil gol sendiri pertahanannya, Jang Sukwon.

"Sedikit kelonggaran corak permainan ditunjukkan oleh Melaka United dan kesilapan dua kali telah dimanfaatkan oleh Kedah untuk memenangi perlawanan ini.

"Turun tanpa beberapa tonggak utama yang cedera dan digantung memang menganggu rentak sebenar kami dalam usaha untuk ulangi kejayaan menewaskan Felda United 6-0 pada Rabu lalu," katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Stadium Darul Aman selepas perlawanan tamat semalam.

Zainal Abidin berkata, pasukannya tetap memberikan kesukaran kepada Kedah pada perlawanan tersebut dalam usaha untuk mencuri mata namun hanya kesilapan sahaja yang memisahkan kedua-dua pasukan.

"Kesilapan-kesilapan ini seharusnya tidak berlaku terutamanya beraksi di laman lawan dan bertemu sebuah pasukan yang kuat seperti Kedah. Memang ada rasa kecewa pada perlawanan ini selepas kita mendahului terlebih dahulu," katanya.

Artikel Berkaitan: