6,000 golongan B40 sudah ikuti PeKa B40

Dr Lee Boon Chye
A
A

IPOH – Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenalkan April lalu menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan hampir 6,000 pesakit telah menjalankan saringan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sambutan menggalakkan turut diterima daripada perkhidmatan klinik perubatan swasta umum (GP) yang sudah berdaftar.

“Sehingga Mei, sudah ada hampir 1,000 doktor swasta terlibat dalam program ini, daripada jumlah itu terdapat sekurang-kurangnya 46 doktor telah membuat saringan ke atas 50 pesakit dan ada sebuah klinik yang membuat saringan untuk lebih 360 pesakit.

“Saya kira ia satu perkembangan yang baik bagi PeKa B40 yang kita lancarkan biarpun belum sampai tempoh satu bulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan anjuran Dewan Perhimpunan China Perak di Hotel Syeun hari ini.

Beliau berkata, dengan perkembangan itu pihaknya yakin sasaran seramai 800,000 pesakit menerima bantuan di bawah skim berkenaan akan dapat dicapai tahun ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan amat menekankan kepentingan membuat saringan awal memandangkan penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kolestrol dan kanser menjadi satu beban kesihatan yang tinggi kepada rakyat.

“Semua tahu bahawa pencegahan jauh lebih baik dari memberi rawatan kerana itu saringan awal perlu diberi tumpuan penting.

“Kita mahu rakyat negara ini menggunakan peluang yang ada, mereka yang layak lakukanlah saringan menerusi skim ini sama ada di klinik kesihatan atau klinik swasta berdaftar,” katanya.

PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 50 tahun ke atas.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, kementerian bersama polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap jualan arak haram.

Menurutnya, meskipun usaha membanteras penjualan arak itu telah dilakukan, masih terdapat kes keracunan berlaku hingga menyebabkan kematian yang tinggi.

“Kita agak kesal kerana perkara ini masih berlaku, bagi pihak kementerian, fokus kita lebih kepada kandungan arak yang dijual, Kastam pula dari aspek cukai yang dibayar sementara polis dan KPDNHEP sebagai penguat kuasa.

“Pasukan multi agensi ini digerakkan untuk kita laksanakan penguatkuasaan membanteras penjualan di seluruh negara,” katanya.

Bagi tempoh lima bulan pertama ini, Perak merekodkan 13 kes keracunan metanol dengan lima angka kematian.