Usaha keras Lang Merah dipuji

Jaringan penyamaan Baddrol berjaya menyemarakkan semangat Lang Merah untuk bangkit mengatasi Melaka United di Stadium Darul Aman semalam. - FOTO MOHD ASYRAF
Jaringan penyamaan Baddrol berjaya menyemarakkan semangat Lang Merah untuk bangkit mengatasi Melaka United di Stadium Darul Aman semalam. - FOTO MOHD ASYRAF
A
A
A

KERJA keras pemain-pemain Kedah mendapat pujian ketua jurulatih mereka, Aidil Sharin Sahak apabila berjaya bangkit untuk mengatasi Melaka United 2-1 selepas ketinggalan di Stadium Darul Aman bagi aksi Liga Super ke-15 semalam.

Menurutnya, pelawat berjaya berada di hadapan terlebih dahulu pada minit ke- 31 menerusi Luka Milunovic selepas memanfaatkan hasil situasi bola mati menerusi sepakan percuma oleh Safiq Rahim.

"Situasi sama berlaku seperti di Melaka apabila kami tewas dengan situasi 'set piece' ini dan ia kembali berulang di gelanggang sendiri namun semangat tidak mengenal kalah dan bekerja sebagai satu pasukan telah membantu Kedah bangkit untuk menyamakan kedudukan sebelum memenangi perlawanan ini," katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Stadium Darul Aman selepas perlawanan tamat.

Gol ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-60 hasil hantaran silang Jonathan Bauman dan gol sendiri Jang Sukwon yang tertampan bola ke gol sendiri pada minit ke-71 berjaya memastikan Lang Merah kembali berada di tangga ketiga Liga Super 2019 untuk berkongsi 22 mata dengan Selangor yang berada di tangga keempat.

Menurut Aidil Sharin, disiplin tinggi pemain-pemain pelawat yang turun bertahan sebagai satu kumpulan setiap kali diasak pasukannya menyukarkan Kedah untuk memburu gol-gol awal pada separuh masa pertama.

"Selain berdepan dengan sebuah pasukan yang berkualiti seperti Melaka United, pemain-pemain juga berdepan dengan cabaran kecergasan disebabkan oleh jadual perlawanan yang padat selain beraksi di bulan Ramadan.

"Saya puji pemain-pemain saya kerana tetap memberikan komitmen pada tahap terbaik walaupun ada di kalangan mereka masih lagi dibelenggu kecederaan seperti Rizal Ghazali dan Fernando Ortega

"Sudah tentu masih lagi banyak yang perlu dibaiki dan ditingkatkan baik di bahagian penyudah dan juga bertahan sebagai satu unit. Selepas tewas 3-1 kepada Selangor sebelum ini dan kembali semula beraksi di Darul Aman untuk kembali bangkit dalam perlawanan ini bukan satu tugas yang mudah namun pemain-pemain Kedah berjaya melakukannya," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, beraksi di laman sendiri meningkatkan lagi motivasi Lang Merah apabila mendapat sokongan padu lebih 5,000 penyokong setia malah pemain-pemain muda seperti Mohd Fazrul Danel Mohd Nizam dan Mohd Fayadh Mohd Zulkifli Amin berjaya menunjukkan keyakinan tinggi berdepan pemain senior lawan.