Arwah suka sedekah, beri hadiah

A
A

KOTA BHARU - Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, seorang yang tidak kedekut dan suka memberikan hadiah kepada ramai orang.

Perkara itu didedahkan seorang kenalan, Norazwatul Akmal Kasmuri, 35, yang mengenali Allahyarham yang lebih mesra dipanggil Kak Ani sejak 10 tahun lalu ketika menguruskan pengiklanan online syarikat kosmetik tersebut sehingga tular.

Menurutnya, sepanjang perkenalannya Allahyarham adalah seorang yang suka bersedekah dan tidak lokek berkongsi idea dalam setiap urusannya untuk menghasilkan promosi terbaik produknya.

Norazwatul Akmal (kiri) dan Noor Adila (kanan) bergambar kenangan bersama arwah (tengah) semasa meraikan hari jadi mereka dua tahun lalu.
Norazwatul Akmal (kiri) dan Noor Adila (kanan) bergambar kenangan bersama arwah (tengah) semasa meraikan hari jadi mereka dua tahun lalu.

“Saya kenal dia dengan sikapnya yang suka belanja orang, suka beri hadiah dan bersedekah.

“Sehingga hari ini saya masih ingat memori dua tahun lalu dia hadiahkan saya beg sempena hari jadi saya. Kami sambut bersama sebab tarikh lahir kami sama iaitu 10 November,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Seorang kenalan lain, Noor Adila Ismail, 33, turut menganggap arwah seorang yang tidak sombong dan suka bersedekah.

“Pernah satu ketika dia bayarkan saya makan dengan keluarga. Sedangkan masa itu kami hanya berselisih sahaja tetapi setelah ke kaunter dia sudah bayarkan," katanya.