Pendakwaan mohon kes rasuah Ku Nan pindah ke Mahkamah Tinggi

Tengku Adnan Tengku Mansor,
Tengku Adnan Tengku Mansor,
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan memohon untuk memindahkan kes seorang ahli perniagaan yang didakwa memberi rasuah RM1 juta kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, ke Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes Datuk Tan Eng Boon di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Pihak pendakwaan akan memohon supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan juga akan mengemukakan permohonan supaya kes ini dibicarakan bersama dengan kes dihadapi Tengku Adnan kerana kedua-dua kes ini membabitkan isu dan transaksi yang sama," kata Lailawati.

Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes Tengku Adnan turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah pada Jumaat lepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk memindahkan kes berkenaan.

Sementara itu, peguam Cheow Wee, yang mewakili Tan berkata pihaknya mengambil maklum dengan perkembangan terbaharu itu (mengenai permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes) dan memerlukan masa untuk mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam.

Hakim Azura kemudiannya menetapkan 7 Jan depan untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status permohonan pemindahan kes berkenaan.

Pada 15 November lepas, Tan, 70, yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suatu suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 68, iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik tertuduh.

Tan dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi beliau kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Artikel Berkaitan:


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang mana diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang mana kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama