Terengganu banjir lagi

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu sekali lagi dilanda banjir dengan tujuh pusat pemindahan di daerah Kuala Terengganu, Marang dan Setiu dibuka hari ini berikutan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut sejak awal pagi tadi.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, 229 mangsa dari 60 keluarga yang terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air dipindahkan ke pusat pemindahan.

Marang mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 172 orang dan kesemua mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, SK Marang dan SK Bukit Gasing.

Bagi Kuala Terengganu, sebuah pusat pemindahan dibuka di SK Chendering dan seramai 37 mangsa dari 10 keluarga berpindah di sana.

Daerah Setiu pula, tiga pusat pemindahan dibuka iaitu SK Telaga Papan, balairaya Kampung Taman Hijrah dan SK Rhu Sepuluh bagi menempatkan 20 mangsa.