'Kehilangan besar buat negara'

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham SM Mohamed Idris.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham SM Mohamed Idris.
A
A
A

GEORGETOWN - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian tokoh dan aktivis pengguna, SM Mohamed Idris sebagai kehilangan besar kepada negara berikutan Allahyarham sebelum ini lantang memperjuangkan hak rakyat dan orang miskin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Allahyarham seorang yang tegas dalam mempertahankan hak rakyat terpinggir terutama dalam isu perumahan di kawasan sesak malah beliau berani mempersoalkan beberapa dasar pembangunan negara yang mengetepikan pertimbangan persekitaran serta keselamatan orang ramai.

Beliau juga telah menganggap SM Mohamed Idris seperti bapanya memandangkan keluarganya turut mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Allahyarham.

Menurutnya, SM Mohamed Idris bukan hanya dihormati dalam kalangan umat Islam, malah turut disanjungi bukan Islam.

"Meskipun perwatakannya lebih Islamik, namun beliau boleh bekerjasama dengan baik dan sentiasa menghormati semua pihak termasuk bukan Islam sekali gus menjadikan beliau seorang pemimpin untuk semua kaum.

"Beliau juga telah melalui sejarah perjuangan yang panjang dan berliku khususnya dalam mempertahankan hak masyarakat di negara ini," katanya ketika ditemui media ketika menghadiri pengebumian Allahyarham di sini pagi ini.

Mengimbau kenangan bersama Allahyarham suatu ketika dahulu, Anwar berkata, beliau terpaksa mengalah dengan Allahyarham melibatkan beberapa isu sewaktu dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

Malah, katanya, Allahyarham juga akan menghubunginya secara terus sekiranya terdapat isu-isu yang tidak memihak kepada pengguna dan secara tegas serta tanpa rasa takut menyatakan pendiriannya atau Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang,Tan Sri Yussof Latiff berkata, beliau kehilangan seorang sahabat akrab yang sudah dikenalinya lebih 50 tahun yang sama-sama aktif berjuang menerusi platform NGO.

Beliau berkata, selepas dimaklumkan mengenai berita pemergian Allahyarham petang semalam, beliau sangat terkejut dan terus menghubungi anaknya untuk mengetahui lebih lanjut.

"Memang sedih dengan pemergian beliau kerana SM Mohamed Idris seorang yang baik dengan saya.

"Pemergiaannya adalah satu kehilangan besar kepada negara khususnya pengguna dan pencinta alam kerana beliau bukan hanya terkenal dengan kelantangan mempertahankan hak pengguna malah juga memperjuangkan alam sekitar," katanya.