CIMBClicks selamat, orang ramai tak perlu bimbang

 CIMBClicks
CIMBClicks
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menasihatkan orang ramai untuk membuat pengesahan terlebih dahulu kepada pihak bank berkenaan tentang apa sahaja perkara yang mencurigakan.

Hari ini, tular di media sosial mendakwa sistem portal perbankan CIMBClicks tidak selamat.

Malah, terdapat dakwaan daripada pengguna yang mana akaun mereka boleh diakses walaupun tanpa memasukkan kata laluan yang betul.

Susulan itu, CIMB Bank Bhd (CIMB) tampil menegaskan sistem portal perbankan dalam taliannya, CIMBClicks, kekal selamat dan terjamin serta semua transaksi pelanggan terus dilindungi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, buat masa ini tiada laporan polis diterima pihaknya berhubung perkara ini.

"Pihak bank juga telah memberi kenyataan tentang perkara ini dan orang ramai tidak perlu bimbang.

"Nasihat saya minta pengguna sentiasa berwaspada dan pastikan apa-apa yang diperoleh, dapatkan pengesahan dari bank berkenaan. Orang ramai usah khuatir, kalau ada kemusykilan dapatkan pengesahan bank," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata, pada hujung minggu lalu, pihaknya mengambil langkah memperkenalkan beberapa langkah tambahan untuk meningkatkan keselamatan transaksi CIMBClicks.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada memastikan sistem kami boleh menerima kata laluan lebih panjang daripada lapan aksara sehingga 20 aksara, kami turut menambah langkah keselamatan reCaptcha ke atas CIMBClicks bagi memastikan pengguna itu bukanlah robot laman web," katanya.

Tambah kenyataan itu, sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian +603 6204 7788.