Akhbar The Nation akan hentikan edisi cetak

The Nation akan beroperasi secara atas talian sepenuhnya bermula 1 Julai depan.
The Nation akan beroperasi secara atas talian sepenuhnya bermula 1 Julai depan.
A
A
A

BANGKOK - Akhbar The Nation yang sudah diterbitkan selama 48 tahun di Thailand akan menghentikan edisi cetak dan beroperasi secara atas talian sepenuhnya bermula 1 Julai depan.

Menurut pemilik akhbar harian berbahasa Inggeris itu, mereka mahu memberi tumpuan kepada pembaca berita atas talian termasuk mereka yang berada di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Nation Multimedia Group (NMG), Somchai Meesen berkata, keputusan dibuat pihak pengurusan itu bertujuan untuk menghentikan kerugian di samping memperluaskan pasarannya.

“Sejak lima tahun lalu, The Nation telah alami kerugian secara purata 30 juta baht (RM3.9 juta) setahun.

“Kaji selidik yang kami lakukan mendapati hanya 36 peratus pembaca akhbar kami merupakan rakyat tempatan manakala 64 peratus lagi di luar negara termasuk 25 peratus di Amerika Syarikat,” ujarnya.

Jelasnya, kebanyakan pembaca sudah tidak lagi membeli edisi akhbar kerana kini lebih mudah membaca laporan atau artikel menerusi pelbagai platform digital.

“Golongan pembaca berusia antara 25 dan 40 lebih suka membaca berita daripada telefon pintar,” katanya lagi sambil menambah edisi atas talian itu juga akan menyediakan versi boleh didengar. - Agensi

Artikel Berkaitan: