Kemenangan paling manis dalam sejarah pendidikan Terengganu

Shafruddin Ali Hussin
Shafruddin Ali Hussin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kejayaan guru dari Terengganu menyandang anugerah Tokoh Guru sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan sejak dua tahun berturut-turut menjadi kemenangan paling manis dalam sejarah pendidikan negeri ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, apa yang lebih manis, dalam sambutan Hari Guru kali ke-48 itu, banyak kategori kemenangan didominasi oleh guru dari Terengganu.

"Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ini menyaksikan banyak kategori yang dimenangi oleh guru-guru kita.

"Saya begitu bersyukur dan ingin merakam ucapan tahniah dan syabas kepada mereka yang menerima anugerah. Ini adalah pencapaian paling manis dalam sejarah pendidikan Terengganu.

"Tidak lupa juga kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut susulan pencapaian luar biasa yang dicapai oleh guru dan murid sebagaimana disebut Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) dalam ucapannya," katanya.

Khamis lalu, bekas Guru Cemerlang Gred Khas C, Nawi Ismail, 62, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2019 sempena Majlis Hari Guru 2019 Peringkat Kebangsaan ke-48 di Pusat Konvensyen Spice Arena di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Manakala Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan disandang Datuk Asariah Mior Shaharuddin.

Kedua-dua tokoh itu menerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di hadapan lebih 3,500 warga pendidik yang datang dari seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Nawi yang juga berpengalaman mengajar subjek bahasa Melayu selama 37 tahun, bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu, pada 1980.

Beliau kemudian dipindahkan ke Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Terengganu dan bersara pada 2017 sebelum meneruskan sumbangan sebagai penceramah motivasi kepada pelajar sekolah di seluruh negara.

Selain Nawi, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Balai, Marang menerima Anugerah Most Exceptional Educator (VLE), Paezah Abd Halim (SK Jongok Batu, Dungun) mendapat naib johan bagi Anugerah Guru Inovatif Kategori Prasekolah.

Selain itu, Raztia Abd Razak (SK Kerteh, Kemaman) menerima Anugerah Guru Adiwira manakala Nor Azimah Ismail (GBK SMA Setiu) menerima Anugerah Guru Inspirasi Mc Donald 2019.

Tahun lalu, bekas Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor, Kuala Terengganu, Hamzah Othman, 62, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2018.