X

Kindly register in order to view this article
!

Semua YB kena isytihar harta

A
A

SESETENGAH pihak mungkin tidak suka, tetapi lebih ramai yang menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya semua anggota Parlimen termasuk pembangkang perlu mengisytiharkan harta.

Seperti semua maklum, sebelum ini anggota Parlimen kerajaan telah mengisytiharkan harta dan kekayaan masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Maka giliran YB-YB pembangkang pula berbuat demikian, jadi orang boleh tahu berapa banyak harta yang dimiliki oleh wakil-wakil rakyat pembangkang.

Sepatah kata Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifudin Nasution:

“Kita juga nak tahu Takiyuddin (Hasan) berapa harta dia, Hadi Awang berapa harta dia, Najib oleh kerana sekarang dia pembangkang dia pun boleh mengisytiharkan harta...”.

BAGI yang mampu lagi berotak rasuah, mudah sangat untuk mendapatkan lesen memandu. Bayar RM500 hingga RM1,200, boleh lulus ujian memandu walau pun anda langgar lampu merah.

Seperti yang didedahkan oleh Sinar Harian, sindiket lesen terbang kembali bermaharajalela di negara ini dengan menawarkan pakej lesen gerenti lulus.

Sesetengah sekolah memandu membayar ‘duit kopi’ kepada pegawai dan pemeriksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkomplot.

Ini bukan perkara baru dan telah berlaku sejak sekian lama dalam kalangan pegawai-pegawai rasuah di JPJ. ‘Duit kopi’, ‘duit bawah meja’, ‘duit tomyam’ adalah antara istilah-istilah yang dikaitkan dengan pegawai jabatan berkenaan.

Bayar sekian-sekian boleh dapat lesen terbang. Sebab itu agaknya kadar kemalangan jalan raya kita terus meningkat dan pemandu kita tidak takut undang-undang.

KAKI songlap duit dan penyelewengan terjadi di mana-mana sahaja. Mereka yang ada kuasa selalu menyalahgunakan kuasa untuk membalon duit rakyat.

Hatta di institusi agama pun duit diseleweng untuk membuncitkan sesetengah pihak, seperti yang kita pernah dengar terjadi di Tabung Haji, institusi zakat, dan lain-lain.

Terkini dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) pun dikatakan telah diseleweng untuk kesedapan dan joli-joli pihak yang berkuasa.

Seperti yang dilaporkan media antara yang diselewengkan ialah wang Yapeim lebih RM500,000 yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah disonglap oleh seorang menteri.

Wang tersebut telah digunakan untuk membiayai perjalanan menteri berkenaan bersama isteri, aktiviti bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah.

Yapeim juga dikatakan membelanjakan sebanyak RM290,000 bagi penganjuran kursus perkahwinan di Paris, Perancis yang dirasmikan oleh menteri sama.

Kenapa bazirkan duit yayasan Islam hanya untuk buat kursus perkahwinan di luar negara?

SETELAH setahun memerintah, janji agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan nampaknya semakin kabur.

Malah skim bayaran balik yang lebih munasabah seperti yang diwar-warkan dulu pun nampaknya tidak menjadi. Setahun tidak ada perubahan.

Sebaliknya ada ura-ura bahawa perbadanan tersebut akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Perbadanan tersebut dilapor turut mencadang supaya menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Nampaknya ini lebih menyusahkan peminjam daripada apa yang dilalui sebelum ini!

JUMLAH penduduk Malaysia sekarang ialah 32.66 juta, demikian menurut Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2019.

Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah tersebut, penduduk lelaki 16.86 juta, berbanding penduduk perempuan 15.80 juta.

“Nisbah jantina adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kalau begitu nisbahnya, susah – malah tiada peluang langsung – untuk seorang lelaki berkahwin lebih daripada seorang. Malah, mungkin ada lelaki tidak dapat kahwin!

AKHIR kalam, menurut perangkaan berkenaan, daripada 32.66 juta penduduk itu, sebanyak 29.31 juta ialah penduduk warganegara manakala 3.35 juta bukan warganegara.

Ertinya kira-kira 10 peratus penduduk kita ialah pendatang asing. 3.35 juta itu adalah pendatang yang direkodkan, kalau campur pendatang asing tanpa izin (PATI) jumlah pendatang pasti lebih ramai.

Sebab itu banyak peluang kerja yang sepatutnya diberi kepada rakyat kita, telah direbut oleh pendatang asing.