‘Selera hotel, harga kampung’

Mohammad Amirul Hafiz bangga mengusahakan restoran Brader’s Cafe pada usia semuda 28 tahun.
Mohammad Amirul Hafiz bangga mengusahakan restoran Brader’s Cafe pada usia semuda 28 tahun.
A
A
A

BERBEKALKAN moto ‘Selera Hotel Harga Kampung’, restoran Brader’s Cafe menyajikan pelbagai hidangan masakan barat dan Cina bersaiz mega dengan harga bermula serendah RM4.90 sahaja.

Dijenamakan semula daripada nama asal Border’s Tea Parit Buntar awal tahun 2019, pemilik restoran Brader’s Cafe, Mohammad Amirul Hafiz Azenan, 28, mengambil risiko menjual lebih 80 menu hidangan barat, masakan Melayu dan Cina dengan harga tidak masuk akal.

Jenama semula kepada Brader’s Cafe

Menurutnya, bermula menjual pelbagai jenis minuman berkonsepkan big cup pada 2016, Brader’s Cafe beralih kepada penyediaan hidangan barat berasaskan ayam gunting sebelum menambah menu.

“Sebelum ini, restoran kami lebih dikenali sebagai Border’s Tea Parit Buntar dalam kalangan pelanggan setia dan penduduk Parit Buntar.

Mohammad Amirul (kiri) menyantuni seorang pelanggan yang sedang menikmati hidangan set karnivor Ramadan bersama hidangan terkemuka Brader's Cafe yang lain.
Mohammad Amirul (kiri) menyantuni seorang pelanggan yang sedang menikmati hidangan set karnivor Ramadan bersama hidangan terkemuka Brader's Cafe yang lain.

“Namun kami mengambil keputusan menjenamakan semula kepada Brader’s Cafe demi mencapai objektif berdiri di atas nama sendiri sekaligus menjadikan jenama itu terkemuka di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohammad Amirul Hafiz berkata, sempena meraikan penjenamaan semula Brader’s Cafe, 20 menu baharu meliputi lima pencuci mulut, lima menu masakan Cina, lima menu barat dan lima jenis minuman perisa baharu berasaskan aiskrim ditawarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, kesemua menu itu adalah hasil inovasi masakan pihaknya dan antara produk bakal ‘meletup’ adalah nasi ayam butter dan asam prawn yang diasaskan daripada resipi baba dan nyonya.

Artikel Berkaitan:

Antara hidangan yang disajikan oleh Brader’s Cafe.
Antara hidangan yang disajikan oleh Brader’s Cafe.

“Sehingga kini, menu makanan terkenal kami adalah giant chicken chop menggunakan dada ayam bersaiz 8 inci dan pasta carbonara yang berjaya terjual hingga 3,000 pinggan sebulan.

“Dua menu ini menjadi tempahan wajib pelanggan kerana penggunaan ayam dara lebih segar dibekalkan syarikat Harumi di samping penyediaan pasta menggunakan herba asli berkualiti, krim pemutar dan susu gred paling baik dan cendawan terpilih,” katanya.

Menu khas Ramadan

Katanya, Brader’s Cafe menawarkan menu khas bulan Ramadan iaitu set karnivor Ramadan yang disajikan berasaskan hidangan daging kambing, lembu dan ayam bakar dalam talam untuk dinikmati sehingga lapan orang.

Set karnivor Ramadan mampu memenuhi selera sehingga 8 orang dengan harga RM100 setalam.
Set karnivor Ramadan mampu memenuhi selera sehingga 8 orang dengan harga RM100 setalam.

Selain itu, makanan kudapan terkemuka daerah Kerian pada bulan Ramadan iaitu kerang dan aneka siput rebus serta hidangan udang dan sotong goreng tempura ditawarkan dengan harga serendah RM2.

“Bagi peminat masakan Thai, Brader’s Cafe turut menyajikan menu daging bakar Danok yang menggunakan daging batang pinang dicicah sos Thai istimewa pada harga RM9.90,” katanya.Pengunjung cecah 1,000 orang sehari

Mohammad Amirul Hafiz berkata, dia bersyukur dengan respons positif pelanggan dari Parit Buntar dan seluruh negeri hingga mampu mencecah 1,000 pelanggan sehari.

Menurutnya, tempahan meja untuk pelanggan berbuka puasa pada bulan Ramadan di Brader’s Cafe sentiasa penuh sehingga waktu kudapan malam.

“Kami tidak bermasalah menawarkan hidangan barat dan pelbagai jenis masakan lain berkualiti dengan harga sangat murah bermula RM4.90 hingga RM15 demi kepuasan pelanggan di sini yang rata-rata merupakan penduduk luar bandar.

“Kami mahu pelanggan menikmati hidangan bertaraf hotel namun membayar dengan harga kampung sahaja setiap kali berkunjung ke Brader’s Cafe.

“Kami berharap menjadi sebuah kafe hidangan barat terkemuka di Parit Buntar dan sebarang tempahan boleh dibuat melalui www.braderscafe.com,” katanya.