Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

308981
A
A

RINGGIT ditutup lebih rendah berbanding dolar US hari ini seiring dengan prestasi mata wang serantau yang lemah akibat ketidaktentuan membabitkan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat dan China, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada di paras rendah 4.1750/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1630/1660, semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Asia Pasifik, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata penyusutan mata wang serantau itu didorong oleh aliran keluar dana daripada rantau tersebut.

“Ini berikutan jangkaan perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang berlanjutan, tindakan dana kekayaan Norway mengeluarkan pasaran bon negara sedang pesat membangun daripada penanda aras pendapatan tetapnya dan kemungkinan Malaysia dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE Russell," katanya kepada Bernama.

Selain itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0335/0368 daripada 3.0414/0447 pada Khamis namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.8051/8093 daripada 3.7991/8021.

Ringgit turut mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3265/3324 daripada 5.3407/3462 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6601/6652 daripada 4.6667/4713, semalam.- Bernama