Tiga individu ditahan bersama dadah

Mohd Kamaruddin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas
Mohd Kamaruddin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas pelbagai jenis dadah dalam dua tangkapan berasingan di sekitar bandar raya ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, bagi kes pertama, anggota MPV Johor Bahru Selatan (JBS) menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki di sekitar Taman Perling sekitar jam 7.30 petang, 11 Disember lalu.

"Anggota MPV JBS telah menahan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia masing-masing berusia 39 dan 58 tahun di sekitar Taman Perling.

"Pada masa sama, polis merampas sejumlah dadah disyaki jenis syabu dan pil ekstasi di dalam kereta tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, dadah yang dirampas dalam kes pertama merupakan 5,121 gram syabu dan 9,970 biji pil ekstasi bernilai keseluruhan RM505,650.

"Polis juga merampas sebuah kereta jenis Honda Accord dalam kes ini. Suspek direman tujuh hari bermula 12 Disember lalu hingga esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, bagi kes kedua, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Johor telah melaksanakan serbuan di sekitar Ulu Tiram antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang pada 13 Disember lalu.

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun dan merampas sejumlah dadah disyaki jenis heroin.

Artikel Berkaitan:

"Rampasan dadah terdiri daripada 5,458 gram heroin bernilai RM96,000. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua.

"Suspek direman tujuh hari bermula 14 Disember lalu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kamaruddin turut memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor berjaya membuat tangkapan seramai 15,388 orang atas pelbagai kesalahan dadah sejak 1 Januari hingga 15 Disember lalu.

"Dalam tempoh sama, polis berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 707.63 kilogram. Nilai dadah yang dirampas adalah RM25.61 juta.

"Turut disita adalah harta bernilai RM15.05 juta," katanya.