Imigresen tumpaskan sindiket palsu dokumen perjalanan

Antara 91 fail yang dirampas Imigresen. - FOTO IHSAN IMIGRESEN
Antara 91 fail yang dirampas Imigresen. - FOTO IHSAN IMIGRESEN
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan susulan penahanan 16 individu termasuk lapan warga asing dalam satu serbuan Ops Serkap di sebuah premis di Taman Perindustrian OUG, Jalan Klang Lama semalam.

Dalam serbuan dalam jam 4 petang hingga 12 tengah malam itu, Imigresen turut merampas 170 pasport negara Bangladesh, 10 pasport India, 10 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, lima set komputer mengandungi dokumen jabatan yang boleh dipalsukan, dua set mesin pencetak, 91 fail yang mengandungi dokumen permohonan rehiring, pelbagai cop syarikat, buku cek serta wang tunai berjumlah anggaran RM78,000.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan pihaknya, serbuan dilakukan Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malayisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan menahan 16 suspek lapan warga tempatan dan lapan warga asing.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia 22 hingga 63 tahun dan sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu serta aktif di sekitar Lembah Klang.

Antara pasport negara India dan Bangladesh yang dirampas. - FOTO IHSAN IMIGRESEN
Antara pasport negara India dan Bangladesh yang dirampas. - FOTO IHSAN IMIGRESEN

“Sindiket ini disyaki terlibat dengan kegiatan pengeluaran pelekat permit atau PLKS Imigresen dan juga pasport antarabangsa palsu dari Bangladesh dan India.

“Sasaran utama sindiket ini adalah di kalangan warga asing mejoritinya warga Bangladesh dan India yang mempunyai masalah dalam proses rehiring dan juga pekerja asing yang gagal membuat lanjutan permit kerja.

“Sindiket ini mengenakan kadar bayaran sekitar RM1,200 sehingga RM3,000 bagi setiap perkhidmatan yang dilakukannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Artikel Berkaitan:

Khairul Dzaimee berkata, sindiket ini disyaki didalangi oleh dua pengarah syarikat warga tempatan bersama dua warga asing dari Bangladesh yang turut ditahan dalam serbuan itu.

“Hasil daripada soal siasat yang dijalankan mendapati salah seorang pekerja warga asing dalam syarikat berkenaan memainkan peranan penting untuk memasarkan kegiatan pemalsuan tersebut.

“Semua suspek yang direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002), Seksyen 56 (1A) (c) akta sama dan Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966,” katanya.

Khairul Dzaimee menambah, operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan dalang yang terlibat dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sera Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Wang tunai berjumlah anggaran RM78,000 turut dirampas dalam serbuan itu. - FOTO IHSAN IMIGRESEN
Wang tunai berjumlah anggaran RM78,000 turut dirampas dalam serbuan itu. - FOTO IHSAN IMIGRESEN