Jangan aniaya dan pinggir kes orang asli Kampung Cunex

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berharap konflik antara kerajaan Perak dengan Orang Asli Kampung Cunex, Gerik, tidak menganiaya serta meminggir orang asal berkenaan sehingga menjadikan mereka gelandangan di tanah air sendiri.

Ketua Pengarah JAKOA, Profesor Dr Juli Edo berkata, pihaknya sedar undang-undang sentiasa berada di pihak kerajaan, namun dia berharap perkara berkenaan tidak berlaku.

"JAKOA berharap setiap program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di sekitar wilayah orang asli hendaklah turut memelihara kehidupan dan khazanah warisan masyarakat setempat.

"Semua pihak harus mencari penyelesaian secara mesyuarat dan muafakat dalam mengimbangkan kedaulatan undang-undang dan pertimbangan-pertimbangan moral, kemanusiaan dan keadilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pelbagai kaedah dan pendekatan boleh digunakan sebagai panduan dan rujukan dalam menangani isu ini seperti lunas-lunas keagamaan, keputusan-keputusan mahkamah, undang-undang alam sekitar, deklarasi dan konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut Juli, kegiatan pembalakan sering mengundang konflik di antara orang asli dan kerajaan di mana orang asal berkenaan hanya mempertahankan wilayah yang diwarisi sejak turun-temurun kerana tidak mahu kehilangan tanah air, maruah dan harga diri.

"Pembinaan sekatan oleh masyarakat Orang Asli Kampung Cunex adalah untuk membantah kegiatan pembalakan dalam wilayah mereka dan mereka tidak mahu kehilangan tanah pusaka yang diwarisi sejak beribu-ribu tahun yang lalu.

"Masyarakat kampung ini bertindak sedemikian atas landasan harga diri dan etnosejarah yang mengaitkan mereka sebagai keturunan langsung Orang Perak (Perak Man) yang berusia 13,000 tahun di samping ingin mengekalkan ekosistem dan asas kehidupan sosial dan budaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Juli berkata, tindakan masyarakat Orang Asli Kampung Cunex bukanlah untuk menentang pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan tetapi hanya berusaha untuk mempertahankan hak dan warisan masyarakat orang asli di penempatan mereka.

"Untuk makluman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy telah mengadakan lawatan dan perjumpaan dengan penduduk, NGO, wakil Jabatan Perhutanan Hulu Perak dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Perak pada 18 Februari lalu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik melibatkan kedua-dua pihak.

"Dalam sesi tersebut juga, menteri memaklumkan akan membuat perbincangan lanjut dengan Menteri Besar Perak, Pegawai Daerah dan Tanah Hulu Perak, Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan agensi- agensi yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian yang harmoni," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perak benarkan sekatan jalan ke Hutan Simpan Air Chepam diroboh

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kerajaan negeri membenarkan operasi meroboh dilakukan terhadap sekatan penduduk Kampung Tasik Cunex di Gerik yang didirikan bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan itu.

Menurut Ahmad Faizal, tindakan berkenaan diambil ekoran pendekatan secara diplomasi tidak menemui jalan penyelesaian selepas empat bulan memandangkan sekatan yang dibina penduduk dilakukan tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan.