Ramai terpedaya janji kosong PH: Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Pas bidas kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) susulan cadangan untuk memperkenalkan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam tabung itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, cadangan sama sekali bercanggah dengan perjuangan PH sebelum ini yang galak melaungkan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN sehingga ramai yang terpedaya dengan janji kosong tersebut.

“Saya rasa itu sudah lari daripada janji manifesto mereka untuk meringankan bebanan rakyat termasuk kalangan orang muda.

“Kata nak menuju ke arah pendidikan percuma tetapi, cadangan PTPTN bercanggah dengan apa yang diperjuangkan PH.

"Kita biarkan sahajalah...kerana mereka berkuasa, insya-ALLAH rakyat akan dapat menilai,” katanya.

Beliau ditemui media di kediamannya selepas mengadakan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Semalam, PTPTN dilaporkan mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata, agensi itu sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Mastura berkata, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.