TH rai kecemerlangan anak-anak anggota TH

Semua penerima sumbangan yang terdiri daripada kalangan anak-anak anggota yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3, STAM, SPM, STPM dan Matrikulasi diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajaran Anak-Anak Anggota TH hari ini.
Semua penerima sumbangan yang terdiri daripada kalangan anak-anak anggota yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3, STAM, SPM, STPM dan Matrikulasi diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajaran Anak-Anak Anggota TH hari ini.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajaran Anak-Anak Anggota TH bagi tahun 2019 di Menara TH Tun Razak hari ini.

Majlis yang dianjurkan sejak 2004 ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada anak-anak anggota TH yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3, STAM, SPM, STPM dan Matrikulasi.

Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf TH, Hizamuddin Jamalluddin berkata, anugerah ini merupakan satu galakan kepada anak-anak anggota yang telah bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran serta membuat persiapan rapi bagi menghadapi peperiksaan.

“Di samping itu, dengan galakan ini diharap dapat membantu anak-anak anggota yang merupakan pewaris kepimpinan masa hadapan untuk terus mengekalkan kecemerlangan pelajaran seterusnya dapat menimba kemahiran dan pengalaman kerja bagi persediaan menempuh alam pekerjaan kelak,” katanya ketika berucap pada majlis itu hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mustakim Mohamad, Pengurus Besar Strategi Sumber Manusia, Zainal Abidin Omar dan Pengurus Besar Pembelajaran dan Pembangunan, Mohd Norber Kassim.

Penerima anugerah, Muhammad Alif Razin Mohammad Sirajjuddin, 18, yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini dengan pencapaian 10A+ berkata, ibu dan ayah sering mengingatkan bahawa pendidikan merupakan tunggak utama bagi seseorang untuk mengubah kehidupan diri serta untuk mencapai kejayaan.

“Kejayaan saya ini juga merupakan hasil daripada tunjuk ajar guru-guru di sekolah yang tidak jemu mendidik serta membantu memastikan kecemerlangan setiap pelajar di sekolah,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di universiti awam dan bercita-cita untuk menjadi doktor perubatan.

Selain itu, TH juga memberikan anugerah kepada anak anggota, Wan Amirul Hakimi Wan Shamsol yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 setelah menamatkan pengajian jurusan perakaunan di Kolej Matrikulasi Arau, Perlis.

“Ketika ini saya sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam. Melalui anugerah ini, ia membakar semangat saya untuk lebih berjaya dan sebagai pemangkin cita-cita untuk menjadi ketua pegawai eksekutif serta membalas jasa kedua-dua ibu bapa,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Muhammad Alif Razin dan Wan Amirul Hakimi Wan Shamsol adalah antara 76 orang anak anggota TH dari seluruh Malaysia yang menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajaran berupa wang saguhati sekitar RM200 hingga RM1,000 mengikut pencapaian masing-masing.