Pinjaman RM160,000 untuk peniaga bazar Ramadan

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri telah mengagihkan sejumlah RM160,000 kepada 141 peniaga bazar Ramadan bagi bantuan pinjaman jangka pendek sempena Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pinjaman yang julung kali diperkenalkan itu hanya diberikan kepada peniaga yang memerlukan dan berdaftar di bawah Persatuan Penjaja Kecil Negeri Terengganu.

Menurutnya, di bawah bantuan pinjaman itu, peniaga yang terlibat memperoleh antara RM1,000 ke RM3,000.

“Jaminannya adalah daripada pihak persatuan peniaga sendiri, yang mana kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyerahkan kepada persatuan bagi pemilihan peniaga yang sangat memerlukan bantuan ini.

“Permohonan yang diterima lebih 400 tapi disenarai pendek oleh persatuan. Antara kelebihan bantuan pinjaman jangka pendek ini ialah mereka tidak dikenakan sebarang faedah dan bayaran pengurusan.

“Kita menerima cadangan daripada kalangan peniaga mengenai pinjaman jangka pendek ini dan setelah dipertimbangkan, kerajaan bersetuju namun mereka perlu membayar balik pinjaman itu dalam tempoh sebulan,” katanya ketika ditemui di Hotel Permai, di sini, semalam.

Katanya, kesemua bantuan pinjaman itu telah diserahkan seminggu sebelum Ramadan kepada peniaga yang layak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara syarat yang dikenakan ialah, bayaran balik pinjaman itu sehingga akhir Syawal, iaitu antara 15 hingga 30 Syawal dan jika gagal membayarnya, persatuan yang menjadi penjamin perlu membayarnya kepada YPU.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau percaya, peminjam telus dan akan membuat bayaran balik sebagaimana yang ditetapkan.

“Kita beri bantuan pinjaman jangka pendek ini kerana memang ada peniaga yang susah dan sangat memerlukan modal pusingan untuk berniaga pada Ramadan. Oleh sebab itu, kita buka lagi kepada persatuan penjaja kalau ada lagi peniaga yang memerlukan, sebelum 15 Ramadan ini.

“Kita takut selepas itu, mereka tak sempat berniaga dan akan ada masalah pembayaran balik. Respons yang diterima sangat menggalakkan dan ramai peniaga yang tidak berdaftar dengan persatuan penjaja pun minta dibukakan untuk mereka.

“Tapi, untuk tahun ini kita buka untuk penjaja dahulu. Kita lihat bagaimana mekanismenya pada tahun depan, apa yang penting adalah pembayaran balik,” katanya.